Anda di sini

Bintulu tuan rumah Kejohanan Muaythai Piala TYT 2015

Advertisement

PIALA PUSINGAN: Taib (tiga kiri) menerima Piala Pusingan Kejohanan Muaythai Piala TYT daripada Talib sambil disaksikan yang lain di Astana Negeri kelmarin.

KUCHING: Bintulu dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2015 pada 20 Mac depan.

Edisi kedua kejohanan tersebut anjuran bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Residen Bintulu dan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama agensi berkaitan.

Kejohanan itu juga telah dimasukkan dalam kalendar Lembaga Pelancongan Sarawak 2015.

Sehubungan itu, satu kunjungan hormat diadakan ke Astana Negeri untuk sesi penyerahan Piala Pusingan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Kunjungan hormat itu diketuai Penasihat Kejohanan, Datuk Talib Zulpilip bersama Datu Mohidin Ishak, Siti Aishah Othman dan Latif Upit.

Pelbagai kategori dipertandingkan pada kejohanan berlangsung selama tiga hari itu.

Antaranya perebutan Piala Pusingan TYT di mana juara bagi tahun ini menentang juara tahun lalu iaitu Shafilaludin Nordin.

Turut diadakan perlawanan jemputan antarabangsa melibatkan petinju Sarawak menentang petinju negara luar.

Pada edisi kali ini, penganjur turut memperkenal Kategori Borneo – kategori baharu dipersetujui (PMNS), Persatuan Muaythai Sabah dan Persatuan Tomoi Labuan semasa perbincangan bersama pada Januari tahun ini.

Kategori tersebut mempertandingkan perlawanan pro dan amatur melibatkan penyertaan petinju Sarawak, Sabah dan Labuan.

Selain itu, acara dijangka menarik perhatian ialah Piala Pusingan Muaythai Bintulu di mana juara tahun 2015 akan menentang juara tahun lalu, Kabilan Javilan.

Edisi pertama kejohanan diadakan pada 22 Ogos tahun lalu di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak.

Kejohanan Muaythai Piala TYT di Stadium Perpaduan anjuran bersama Persatuan Muaythai Kuching (PMK) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan agensi-agensi berkaitan.

Semasa edisi tersebut, Taib melancarkan logo rasmi PMNS setelah mendapat persijilan Pesuruhjaya Sukan Negeri Sarawak.

 

Advertisement