Anda di sini

Sukan petanque popularkan Kampung Santubong

Advertisement

KUCHING: Tumpua n masyarakat umum ke Kampung Santubong sekarang bukan sekadar untuk membeli hasil laut tetapi menjadi venue pilihan sukan petanque.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata setiap tahun pelbagai pertandingan petanque berlangsung di kampung nelayan itu.

Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung meningkatkan pendapatan penduduk kampung yang mengusahakan perniagaan dan inap desa.

“Dahulu kampung ini amat popular sebagai tempat membeli hasil laut, sekarang kita lihat penggemar petanque ramai datang ke kampung ini.

“Ini sesuatu yang positif dalam mempopularkan kampung ini dan pada masa sama menambah pendapatan penduduk kampung,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan petanque BAKSRI Politeknik Siri 2 di Gelanggang Petanque Kampung Santubong semalam.

Setakat ini, pelbagai pertandingan diadakan di kampung tersebut sama ada peringkat kebangsaan ataupun negeri.

“Setiap tahun kampung ini menerima kehadiran orang luar yang menyertai pertandingan petanque,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan turut bersetuju membina Kompleks Sukan Petanque yang bernilai RM5 juta di Kampung Santubong.

“Wujudnya kompleks ini, maka kampung ini akan terus popular dan mungkin boleh menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya.

Advertisement