Anda di sini

Skuad Piala Presiden sudah bersedia harungi musim baharu

Advertisement

KUCHING: Skuad Piala Presiden Sarawak sudah cukup bersedia menghadapi Piala Presiden 2015 yang bakal bermula pada 4 Februari ini dengan perlawanan pertama menentang T-Team di Padang C, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Ketua jurulatihnya, Johnny Dominicus ketika dihubungi semalam berkata setakat ini cuma terdapat dua atau tiga pemain mengalami kecederaan namun tidak serius atau rehat panjang.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis dengan 25 pemain yang dipilihnya dapat memberi saingan lebih sengit kepada pasukan-pasukan handalan lain.

“Apa boleh saya katakan, pemain-pemain kita tidak mengalami masalah. Cuma terdapat dua atau tiga pemain mengalami kecederaan namun tidak serius,” katanya.

Menurutnya, jika pemain cedera itu tidak dapat diturunkan pemain lain juga dilihat mempunyai potensi menggalas tanggungjawab menggantikan pemain utama.

“Tiada masalah sekiranya pemain-pemain lain menggantikan pemain yang cedera.

Apa yang membezakan mereka mungkin dari segi pengalaman,” ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang T-Team, Johnny yakin peluang untuk menang dalam perlawanan tersebut masih ada namun segala-galanya bergantung kepada komitmen semua pemain.

“Seperti kebiasaan pada perlawanan pertama, pemain- pemain sudah pasti berasa gugup,” jelasnya.

Perkara lebih penting adalah untuk mencuri mata di gelanggang lawan pada setiap perlawanan.

“Sama ada menang atau seri, yang penting kita dapat memperolehi mata di gelanggang lawan,” katanya.

Selepas menentang TTeam, Sarawak menanti kunjungan Pahang di Stadium Negeri pada 11 Februari bermula jam 4.45 petang.

Sarawak diletakkan dalam Kumpulan A bersama Perak, Johor Darul Takzim II, TTeam, Pahang, Terengganu, Selangor ATM, Perlis dan KL Sime Darby FC.

Kumpulan B melibatkan KL Felda United FC, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, Pulau Pinang, PDRM, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor PKNS.

Advertisement