Anda di sini

Khairy: Sukan SEA Singapura pendedahan atlet pelapis

Advertisement

SEREMBAN: Penyertaan Malaysia pada Sukan SEA di Singapura Jun depan adalah lebih kepada mengetengahkan pelapis dan juga atlet pembangunan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya jika Sukan SEA sebelum ini, Malaysia memberi fokus kepada pungutan pingat emas iaitu berapa banyak pingat emas boleh dimenangi, tetapi kali ini dasar itu telah diubah.

“Jadi, kita menganggap Sukan SEA sebagai peringkat pembangunan dan kita hendak dedahkan pelapis kita. Oleh itu, kita tidak hanya boleh melihat kepada pingat emas semata-mata tetapi kita juga harus lihat kepada pingat secara keseluruhan dan juga prestasi pelapis kita.

“Cita-cita kita adalah lebih besar lagi seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kalau setakat Sukan SEA, kita tidak akan sampai ke mana,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2015 di sini, semalam.

Mengenai persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura Jun depan, beliau berkata setakat ini persiapan berjalan lancar dan ia sedang ditingkatkan.

Khairy berkata Malaysia akan menyertai 35 daripada 36 acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya sukan itu.

“Majlis Sukan Negara sedang memperhalusi acara dan juga atlet yang akan kita hantar ke Sukan SEA tersebut,” katanya.

Sementara itu, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan membuat pengumuman tarikh baharu sambutan Hari Sukan Negara 2015 tidak lama lagi memandangkan tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada November adalah tidak sesuai kerana keadaan cuaca tidak menentu.

Katanya Kabinet juga setuju bahawa Hari Sukan Negara ini akan menjadi acara tahunan. — Bernama

Advertisement