Anda di sini

Undang-undang mencegah keganasan dibentang Mac

Advertisement

KUCHING: Undang-undang baharu pencegahan keganasan yang mungkin dikenali sebagai Prevention of Terrorism Act atau POTA akan dibentangkan pada sesi Parlimen pada Mac akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang yang diwujudkan bertujuan memerangi aktiviti keganasan itu akan mempunyai pelan komprehensif bagi menangani masalah global, terutama ancaman keganasan yang semakin meningkat dari kumpulan Negara Islam (IS).

“Menjadi hasrat kita agar masyarakat umum termasuk pihak pembangkang menyokong kita dalam mengatasi masalah keganasan ini.

“Ini kerana, akta atau undang-undang ini bukan untuk kepentingan politik tetapi demi negara dan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Doa Selamat Masjid Darul Ehsan Kampung Sejingkat di sini, semalam.

Tambahnya, POTA bersifat menyeluruh dari sudut hukuman dan pencegahan serta pemulihan individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memberitahu bahawa pihaknya masih belum memuktamadkan nama untuk akta baharu itu, tetapi paling penting ialah kerajaan juga mendapat input daripada pakar profesional termasuk para ulama Islam.

“Apabila kita mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada tahun 2009, kita tidak mempunyai undang-undang pencegahan dalam sudut ini (keganasan).

“Jadi dengan itu, kerajaan telah membentangkan kertas putih yang mencadangkan satu undang-undang baharu yang sekarang sedang dikaji yang mungkin dikenali sebagai POTA,” jelasnya.

Mengenai ancaman keganasan yang semakin meningkat, menurutnya, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mempertingkatkan lagi organisasi risikan dengan menubuhkan satu badan khas iaitu Unit Anti Pengganas (Terorism) yang diberi tanggungjawab untuk negara melakukan risikan dan pemantauan.

Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan bahawa kes yang melibatkan Sirul Azhar, yang ditahan di Australia selepas meninggalkan negara ini pada Oktober lalu masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Australia untuk permintaan bagi membawanya pulang ke Malaysia.

“Kita masih menggunakan diplomasi sebagai kaedah untuk membawa Sirul pulang.

“Kita risau Sirul akan menghadapi masalah apabila pasportnya tamat tempoh dan dia boleh dituduh sebagai pendatang tanpa izin di sana,” jelasnya.

Katanya lagi, dalam keadaan sekarang Kerajaan Malaysia sedang ‘tunggu dan lihat’ tindakan yang bakal digunakan bagi membolehkan Sirul dibawa pulang dan proses ini akan memakan masa panjang.

 

Advertisement