Anda di sini

Perancangan jangka panjang BiFA dalam melahirkan bakat berpotensi

Advertisement

BINTULU: Perancangan jangka panjang perlu difikirkan untuk melahirkan bakat-bakat berpotensi bukan hanya mampu mewakili Bintulu pada liga-liga bola sepak tempatan negeri ini malah mampu diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

Perancangan itu penting melahirkan jaguh-jaguh bola sepak seperti lahirnya bekas pemain gemilang ngap sayot dan Sarawak dari sini pada era 80-an dan 90-an iaitu Abdul Jalil Ramlee.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor Abu Nasir mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) kerana mengadakan pelbagai aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal di bahagian ini.

Begitupun, beliau berbincang dengan Presiden BiFA, Duke Janteng mengenai pendekatan bagi meningkatkan prestasi pemain dalam usaha melahirkan jaguh-jaguh sukan bola sepak di sini ke tahap lebih tinggi.

“Apa yang saya nampak semasa Pejabat Residen Bahagian Bintulu menyediakan kemudahan menonton secara langsung melalui skrin besar di padang Dewan Suarah membabitkan perlawanan separuh akhir antara Sarawak dan Pahang dua tahun lalu, maklum balas penduduk Bintulu cukup bagus,” katanya mewakili Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada Majlis Makan Malam dan Anugerah BiFA 2014 di sini malam kelmarin.

Justeru dengan sokongan dan semangat penduduk, Zaiedy menyarankan agar persatuan dan pelbagai pihak memikirkan bagaimana melahir dan mengasah pemain-pemain yang ada supaya terus meningkat ke tahap cemerlang.

Duke berkata, penganjuran pelbagai aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal di sini dilihat berjaya mencapai ke peringkat lebih tinggi meskipun mengalami kekangan kewangan.

Bagaimanapun, beliau yang juga naib presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berterima kasih kepada pelbagai pihak membabitkan syarikat dan wakil rakyat di sini menaja kejohanan serta sokongan pemain sekali gus membantu usaha BiFA memperkembang dan meningkatkan mutu sukan tersebut.

Justeru, atas sokongan itu BiFA menganjurkan anugerah seumpamanya sebagai tanda menghargai jasa dan memberi pengiktirafan kepada pemainpemain, pasukan serta pengurusan pasukan, pegawaipegawai BiFA termasuk para penaja.

Beberapa anugerah disampaikan termasuk Tokoh BiFA 2014 dianugerahkan kepada Matnor Ali dan Tokoh Pengadil 2014 dianugerahkan kepada Wan Ismail Wan Mustapha.

Anugerah-anugerah lain ialah Pasukan Terbaik disandang Project Park, Peter Franck Brown (Pemain Terbaik), Mohd Iskandar Hussin merupakan pelajar tingkatan lima SMK Kemena (Pemain Harapan), Hakbarizma Drahman (Jurulatih Terbaik), Antionio Backners (Project Park) juga bekas pemain Piala Sarawak 2014 dan Piala Presiden menyandang anugerah ‘Tangan Emas’.

Diikuti anugerah Pasukan Terbaik Futsal Lelaki dan Wanita masing-masingnya disandang Bulkers (lelaki) dan Suai Bersatu (wanita) dan Zuriah Ahmad (Pemain Terbaik Futsal Wanita).

Sijil-sijil penghargaan turut disampaikan kepada bekas ahliahli jawatankuasa BiFA.

Selain itu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan bola sepak dan perasmian Akademi Bola Sepak BiFA turut diadakan antara BiFA dan SMK Kemena serta SK Jepak.

Akademi itu adalah di bawah Pengerusi Pembangunan Bola Sepak Bintulu, Mohd Tuah Ismail.

Hadir sama Ketua Unit Pembangunan Kemanusian Pejabat Pelajaran Daerah (PDD) Bintulu, Awang Ali Udin Awang Adenani mewakili Pegawai PPD Bintulu, Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Bintulu, Muhammad Dino Amid mewakili Residen Bintulu, Penolong Pengurus Besar BDA Mohd Bohari Kipli, Timbalan Presiden BiFA, Awang Jahmari Awang Junaidi dan pengurusan kanan MLNG dan ASEAN Bintulu Fertilizer.

 

 

 

Advertisement