Anda di sini

Penemuan haiwan pelik masih jadi misteri

Advertisement

Penemuan haiwan di sebuah ladang kelapa sawit Jumaat lalu masih jadi tanda tanya

Oleh Watt Zacchaeus //

BINTANGOR: Berita penemuan seekor haiwan pelik di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor/Sibu Jumaat lalu sehingga kini masih menjadi tanda tanya orang ramai khususnya dalam laman sosial.

Semalam, pemberita turut membuat tinjauan ke ladang terbabit bagi bertanya lanjut mengenai perkembangan kejadian itu.

Salah seorang pekerja Indonesia yang melihat haiwan terbabit pada masa kejadian, Herman Tutu berkata, pada masa itu dia bersama tiga lagi rakan sekerja termasuk isterinya terlihat haiwan itu muncul ketika dalam perjalanan pulang dari ladang sekitar jam 1 petang.

Jelasnya, masa itu mereka fikir haiwan itu seekor anjing atau monyet.

“Bila menghampirinya dengan lebih dekat, kami terkejut melihat haiwan itu. Lebih-lebih lagi tidak pernah melihat haiwan sebegitu sebelum ini.

“Ia menghampiri kami dan kemudian seakan-akan mahu menyerang kami.

“Seorang rakan saya mengambil dahan kayu dan cuba menghalaunya daripada bertindakan agresif,” jelasnya.

Menurut Herman, rakannya tidak memukul haiwan itu tetapi hanya mengusirnya dengan kayu.

“Ia menggigit dahan tersebut. Dalam tempoh agak lama baharulah ia melepaskan kayu itu lalu kami menghalaunya masuk ke hutan semula,” ujarnya.

Herman berkata sebaik tiba di kuarters kediaman, dia cuba membawa rakan-rakan lain mengesan haiwan terbabit namun gagal.

Sementara itu, pemberita turut menemui pengurus ladang sawit terbabit iaitu Golmie Ghani bagi mendapatkan ulasan lanjut mengenai kejadian itu.

Katanya beliau turut dimaklumkan mengenai penemuan haiwan terbabit dan setakat ini belum ada pihak berkaitan berjumpa dengannya mengenai kejadian itu.

“Saya sudah dimaklumkan berhubung perkara tersebut tetapi kami masih belum tahu apakah jenis haiwan itu,” tambahnya.

Dalam pada itu, menurut laporan sebelum ini sekumpulan pekerja Indonesia didakwa memukul haiwan terbabit sehingga pengsan kerana bimbang tindakannya seolah-olah cuba menyerang mereka.

Ladang sawit tempat penemuan haiwan terbabit kini tidak dapat dilalui dengan semua jenis kenderaan kerana masih banjir.

Menurut laporan akhbar semalam, Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengesahkan haiwan terbabit ialah beruang spesies beruang madu.

SFC berkata haiwan itu dalam nama saintifiknya ialah ‘Ursus malayanus’ merupakan beruang yang kebanyakannya terdapat di hutan hujan tropika Asia Tenggara merangkumi Borneo.

“Disebabkan haiwan itu tidak berbulu dan berkurap, ia telah menimbulkan kekeliruan mengenai spesies disiarkan berita, gambar dan video pendek di akhbar ini dan versi atas talian.

“Ia mungkin muncul di ladang sawit kerana habitatnya yang berhampiran dilanda banjir,” katanya petikan berita itu.

Sehingga berita ini ditulis semalam, SFC masih gagal menjejaki haiwan terbabit ekoran kawasan ladang dilanda banjir.

 

Advertisement