Anda di sini

KKWPK, JKN bekerjasama beri khidmat lebih bermutu

Advertisement

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) akan mewujudkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam memberi perkhidmatan lebih bermutu kepada kumpulan sasaran yang sama.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, inisiatif itu perlu memandangkan kedua-dua pihak mempunyai peranan sama dalam membantu wanita, warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak dan belia.

“Kerjasama strategik ini perlu untuk menangani isu yang membabitkan kumpulan yang diberi fokus secara lebih berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching,di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad.

Fatimah yang juga penaung kelab tersebut berkata, melalui usaha sama itu, kedua-dua pihak dapat mencari kaedah terbaik dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang membimbangkan.

“Kebimbangan terbaharu kini adalah terhadap virus HIV dan masalah seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Ini adalah masalah yang menjejaskan kumpulan fokus kita yang mesti ditangani,” kata Fatimah.

Beliau pada masa sama turut memuji usaha gigih kakitangan kebajikan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara ketika bencana banjir lalu.

“Kami menyedari kakitangan daripada Jabatan Kesihatan telah mengadakan pemeriksaan kesihatan dan sesi latihan untuk mangsa banjir baru-baru ini.

“Ini sebenarnya adalah cara yang baik bagi mereka untuk melegakan tekanan mangsa banjir,” katanya.

 

Advertisement