Anda di sini

Kemeriahan sambutan Thaipusam pikat hati pelancong

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemeriahan persediaan sambutan Thaipusam yang akan berlangsung Selasa ini bukan hanya menjadi tumpuan penganut beragama Hindu, tetapi juga menambat hati pelancong luar negara.

Tinjauan Bernama di Batu Caves dan di kawasan sekitarnya mendapati lokasi ibadat utama bagi penganut Hindu itu telah mula sesak dan dibanjiri dengan lautan pengunjung mulai dari pintu masuk utama hingga ke kawasan dalam kuil sejak tujuh pagi lagi.

Turut kelihatan puluhan anggota polis trafik yang mengawal selia lalu lintas dan kenderaan yang diletakkan di bahu jalan bermula dari laluan Sri Gombak ke Selayang kira-kira satu kilometer.

Bagi golongan peniaga, ia adalah ‘lubuk rezeki’ dan tidak melepaskan peluang membuka gerai menjual makanan, minuman, bunga, cenderahati, pakaian dan aksesori, juga menambah kemeriahan sambutan tersebut.

Bagi pelancong dari United Kingdom, Jason McArthur, 33, dan isterinya, Ashley yang kebetulan sedang berbulan madu di Kuala Lumpur berkata, ini merupakan pengalaman pertama mereka menyaksikan sambutan keagamaan itu.

“Kami telah melawat lebih 15 negara di seluruh dunia, tetapi ini kali pertama kami berpeluang melihat penganut agama Hindu menyambut ritual suci mereka dengan toleransi dan persefahaman daripada kaum-kaum lain di negara ini.

Kami sangat gembira berada di Malaysia,” katanya.

McArthur berkata beliau berkesempatan mencuba memakai dhoti, pakaian yang biasa dipakai oleh lelaki India ketika beribadat.

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalender Tamil bagi penganut beragama Hindu di seluruh dunia sebagai menghormati Dewa Murugan.

Pada hari Thaipusam, penganut akan menunaikan nazar mereka dengan membawa susu yang diisi dalam belanga yang dianggap paling suci dan menaiki tangga ke kuil.

Bagi pengembara dari Australia, Charles Stevenson 40, beliau pernah menyaksikan ritual sebegitu disambut di India sebelum ini.

“Pada pandangan saya, Batu Caves seperti ‘mini India’ dan saya sangat terkejut menyaksikan ritual yang sama seperti yang saya saksikan sebelum ini ketika melawat India pada 2007,” katanya.

Penganut yang berasal dari India, R. Allapitchay, 67, berkata tahun ini merupakan tahun keempat beliau ke Malaysia untuk menyambut Thaipusam dan lebih bermakna apabila turut ditemani isterinya.

“Saya selalunya menyimpan duit untuk menunaikan nazar saya di sini (Batu Caves) kerana saya sangat seronok merasai pengalaman itu. Saya juga datang ke sini untuk memenuhi nazar mendiang ibu saya kerana beliau mahu datang ke sini untuk menyambut perayaan ini tetapi terlebih dahulu meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kuil Sri Maha Mariamman di Batu Caves, R. T Sundaram ketika dihubungi berkata sambutan tahun ini agak menarik kerana terdapat cuti umum Hari Wilayah dan bersambung dengan cuti Thaipusam.

Katanya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran khas 125 tahun sambutan Thaipusam yang bermula semalam, memaparkan 200 foto yang menceritakan perkembangan sambutan itu sejak 1891.

“Selain itu pengunjung juga boleh menyaksikan kemunculan ‘pedati perak’ yang telah digunakan selama 30 tahun dan diperbaharui dengan saiz yang lebih besar juga merupakan kemunculan pertama perarakan tahun ini bermula di Jalan Tun H.S Lee ke Batu Caves,” katanya.

Sundaram berkata 1.6 juta penganut dijangka hadir pada sambutan Thaipusam di Batu Caves berbanding 1.5 juta tahun lalu. — Bernama

 

Advertisement