Anda di sini

Dua beradik nyaris rentung

Advertisement

BERMULA: Kebakaran dikatakan bermula dari bilik tidur di sebuah unit kediaman di Kompleks Perumahan Kastam Demak Laut.

Berjaya menyelamatkan diri meskipun terperangkap beberapa minit apabila bilik tidur mereka dijilat api

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Dua beradik berjaya menyelamatkan diri meskipun terperangkap beberapa minit apabila bilik tidur mereka di Kompleks Perumahan Kastam Demak Laut di Jalan Bako, dijilat api pada malam kelmarin (Sabtu).

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Penolong Penguasa Bomba Kanan (PgKB) I Tiong Ling Hii berkata, pihaknya bagaimanapun belum dapat mendapatkan butiran lanjut daripada kedua-dua remaja itu memandangkan mereka masih trauma dengan kejadian tersebut.

“Mereka berdua berjaya menyelamatkan diri. Namun kedua-dua gadis tersebut mengalami sesak nafas manakala anak lelaki pemilik rumah mengalami luka di tangan kerana cuba pecahkan tingkap untuk keluar,” katanya sambil menambah, keadaan mereka bagaimanapun stabil.

Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) telah memberi rawatan kepada semua mangsa.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, bantu oleh BBP Petra Jaya dan BBP Kuching dan BBP Batu Lintang dengan kekuatan keseluruhan 31 anggota turut disertai Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Christus Buson.

Kebakaran di bilik tidur yang bermula sekitar jam 10.30 malam itu berjaya dikawal pada jam 11.07 malam.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam kes berasingan, seorang pekerja kilang mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila kediaman mereka sekeluarga di rumah pangsa kos rendah Taman Sepakat Jaya di Demak Laut musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam insiden sekitar 9.40 pagi itu, enam sekeluarga itu sedang menonton televisyen di ruang tamu apabila menyedari salah satu dari tiga bilik tidur telah terbakar.

Menurut pemilik rumah, Dahlan Zainudin kejadian itu berlaku dengan begitu pantas sehingga keluarga gagal menyelamatkan apa-apa.

“Saya terus menyuruh mereka keluar dari rumah… meskipun tinggal sehelai sepinggang, syukur tidak ada sesiapa yang cedera,” katanya.

Selain memusnahkan rumah Dahlan, kebakaran itu turut menjejaskan tiga unit kediaman di tingkat empat tersebut.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.49 pagi hasil usaha 16 anggota daripada BBP Tabuan Jaya dan BBP Kuching.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

 

Advertisement