Anda di sini

Beberapa rumah panjang dilanda bah

Advertisement

SARIKEI: Beberapa rumah panjang di sini yang terletak di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air berikutan hujan lebat turun tanpa henti sejak petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Bidol Noyeng berkata sehingga jam 4 petang semalam terdapat tujuh kawasan terjejas teruk berikutan banjir kilat.

“Kawasan terjejas ialah Rumah Jabang, Rumah Empati, Rumah Jampong, Bazaar Nanga Wak, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Wak, SK Nanga Kota dan SK Sembawang.

“Daripada jumlah itu, seramai 80 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Masyarakat Pakan.

“Beberapa jalan utama turut dinaiki air sekitar tiga kaki dan beberapa lokasi lain masih dalam pemantauan berikutan hujan masih turun di sini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Bidol, selain risiko banjir penduduk kawasan itu turut terdedah dengan beberapa masalah lain seperti tanah runtuh.

“Berdasarkan laporan yang diterima petang kelmarin di Batu 9, Jalan Pakan/Engkamop terdapat kejadian tanah runtuh dan menyebabkan jalan terbabit terputus.

“Namun, masalah itu berjaya diatasi pihak terbabit,” katanya sambil mengingatkan penduduk bersiap sedia sepanjang masa dan memantau keadaan persekitaran mereka lebih kerap dan teliti.

 

Advertisement