Anda di sini

Bayi jantung berlubang: Jailani minta IJN ambil tindakan segera

Advertisement

HULU TERENGGANU: Penderitaan bayi berusia enam bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari semalam.

Bayi Wan Hanif Hasyraf Wan Mohd Firdaus terpaksa bergantung hidup kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang masa berikutan penyakit yang dihidapinya dan memerlukan pembedahan segera untuk membesar seperti bayi normal yang lain.

Jailani, yang juga ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata beliau akan berusaha untuk memanjangkan kes bayi itu kepada Institut Jantung Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya pembedahan segera dapat dilakukan.

“Bayi ini terpaksa bergantung 24 jam kepada mesin pernafasan, memang sangat kesian melihat bayi ini. Pergerakannya agak terbatas dan tak dapat membesar seperti bayi lain,” katanya kepada pemberita ketika melakukan ziarah ke kediaman keluarga bayi berkenaan di Kampung Buluh di sini.

Sementara itu, ibu bayi itu Nurul Hidayah Juhari, 25, berkata bayinya sepatutnya dijadual dibedah pada 14 Jan lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan ada kes kecemasan lain yang perlu didahulukan. — Bernama

 

Advertisement