Anda di sini

3,000 orang jayakan ‘Colour Rush 3.0’ di Kuching

Advertisement

PANASKAN BADAN: Latihan aerobik ringkas sebelum larian.

KUCHING: Lebih 3,000 orang bermandikan hujan semalam di Le’Park Dewan Suarah Kuching kerana mengambil bahagian dalam ‘Colour Rush 3.0’ dalam usaha menyokong Hari Kanser Kanak-Kanak Antarabangsa.

Dengan berbekalkan baju hujan, ia tidak melemahkan semangat mereka yang terlibat untuk berkumpul seawal jam 6 pagi untuk memulakan larian.

Majlis menjadi lebih menarik apabila peserta larian disimbah dengan serbuk berwarna-warni, sambil menari muzik dan melakukan larian sejauh lima kilometer.

Di sepanjang laluan larian, terdapat 10 papan tanda kesedaran diletakkan untuk pelari mempelajari simptom dan gejala kanser di kalangan kanak-kanak sebagai langkah meningkatkan kesedaran selain mengumpul dana.

Turut hadir bagi melepaskan peserta larian itu ialah Naib Presiden Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) Gary Ho dan Pengarah Ouryouth.my Datuk Patrick Liew.

Penganjuran majlis disokong sepenuhnya oleh Ouryouth.my, SCCS, Hornbill Pacesetters Running Club dan ditaja oleh Lea Sports Centre, Revive, Facelook, CityONE Megamall, Viva La Vida Fitness Studio, The Filmmakers Co dan Mita.

Acara yang sama juga diadakan di Stadium Tertutup di Miri.

Buat kali pertama tahun ini, ‘Colour Rush 3.0’ diadakan di Town Square, Sibu pada 8 Februari nanti.

Pihak penganjur telah menetapkan sasaran peserta yang akan mendaftar sejumlah 10,000 pelari untuk tiga-tiga acara larian itu tahun ini.

 

Advertisement