Anda di sini

12 penyokong JDT ditahan berhubung isu tifo

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 12 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ditahan kerana mempamerkan kain rentang (tifo) seorang pemimpin berwajah anjing dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu malam kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kesemua mereka telah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan polis.

“Apa yang berlaku di stadium semalam adalah sikap segelintir penyokong yang tiada sifat bertanggungjawab, tiada adab, kurang berdisiplin, tidak peka dan tidak sensitif.

“Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengakui baginda kecewa dan menganggap isu kain rentang itu adalah satu perbuatan tidak wajar.

“Penyokong yang tidak berpuas hati sepatutnya perlu mendapatkan fakta yang jelas terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Hamidin berkata PBNJ telah bertindak cepat dengan mengarahkan marshal yang dibantu dengan pihak polis bagi menangkap penyokong terbabit dalam masa sejam.  — Bernama

 

Advertisement