Anda di sini

Jangan sabotaj ekonomi negara: Shabery

Advertisement

Rakyat perlu miliki ketahanan diri untuk tidak merusuh dan tidak ambil kesempatan

GUA MUSANG: Rakyat perlu peka dan tidak terlibat dengan pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata mensabotaj ekonomi boleh berlaku di mana-mana negara, namun yang penting rakyat perlu mempunyai ketahanan untuk tidak merusuh dan mengambil kesempatan terhadap perbuatan berkenaan.

“Mensabotaj ekonomi sesebuah negara, boleh berlaku dari semasa ke semasa. Bagi menguji kekuatan sesebuah negara itu bukan sahaja dari segi ketenteraannya, dari segi bagaimana mereka mempertahankan keselamatan, malah untuk mewujudkan suatu sistem dengan rakyatnya mempunyai ketahanan untuk tidak merusuh, tidak mengambil kesempatan, merupakan aspek yang perlu kita beri penekanan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih beliau bersama mangsa banjir di Kampung Bertam Baru di sini, semalam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan mengenai kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.

Ahmad Shabery berkata ada sesetengah negara apabila berlaku sedikit sahaja ancaman dari segi ekonominya, rakyat negara itu keluar ke jalan raya dan memburukkan lagi keadaan.

“Tetapi dalam soal ini, kita dilihat lebih bersatu kecuali mereka yang sememangnya mahu berasakan kalau negara kita diserang, mata wang akan jatuh, harga barang akan jadi mahal atau barang tidak mencukupi.

“Ini berlaku di Venezuala, di mana negara itu yang dahulunya sebagai pengeluar minyak, semua orang nakkan minyak kita murah seperti Venezuala, namun  mereka tidak ada simpanan lain, ekonomi mereka tidak dipelbagaikan sehingga bergantung sepenuhnya ke atas minyak dan apabila harga minyak terlalu rendah, mereka tidak boleh menggunakan wang untuk membeli barang dari luar sehingga   menyebabkan ekonomui terancam,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu terus berwaspada terhadap pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara memandangkan mata wang negara ini pernah disabotaj sebelum ini.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata bencana banjir yang melanda beberapa negeri bulan lepas menunjukkan tingginya semangat sukarelawan rakyat Malaysia.

Beliau berkata pelbagai pihak, termasuk individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Pada majlis itu Ahmad Shabery yang juga ahli Parlimen Kemaman, menyampaikan sumbangan bekalan makanan, selimut dan barangan elektrik, termasuk daripada Parlimen Kemaman, Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), syarikat swasta dan NGO. — Bernama

Advertisement