Anda di sini

Guan Eng hentikan sidang akhbar kerana ditanya tentang debat

Advertisement

BUTTERWORTH: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam terus menamatkan sidang akhbar apabila para pemberita mendesaknya memberi respons sebagai setiausaha agung DAP terhadap cabaran PAS agar beliau berdebat tentang isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sidang akhbar itu diadakan selepas beliau melancarkan Cafe Sains Pulau Pinang di sini.

Pemberita beberapa kali meminta Lim memberi responsnya terhadap cabaran Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk berdebat tentang isu pilihan raya PBT, tetapi Lim mengulangi kata-kata ‘ada soalan lain tak?’

Apabila pemberita terus bertanya tentang perkara itu, Lim menamatkan sidang akhbar itu dengan ucapan ‘terima kasih’. Sebelum itu, beliau menyentuh tentang beberapa perkara lain, termasuk kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mustafa dilaporkan mencabar Lim berdebat tentang isu pilihan raya PBT. Rabu lepas, pemimpin PAS itu menyelar Lim kerana didakwa berkata beliau (Mustafa) bersetuju pilihan raya PBT diadakan, sedangkan beliau tidak berkata demikian.

Sebelum itu, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP boleh melebarkan lagi jurang ekonomiantara golongan berada dan tidak berada serta boleh mencetuskan pergaduhan kaum seperti Peristiwa 13 Mei 1969.

Pada khamis, setiausaha penganjur DAP Loke Siew Fook mengeluarkan kenyataan yang mempersoal sama ada Mustafa cuba membakar jambatan yang menghubungkan PASdan DAP apabila beliau mencabar Lim untuk berdebat. — Bernama

Advertisement