Anda di sini

255 perenang bakal bersaing pada kejohanan peringkat umur Kuching

Advertisement

KUCHING: Seramai 255 perenang dari 36 buah sekolah bakal bersaing bagi merebut kejuaraan pada Kejohanan Renang Peringkat Umur Kuching (KAG) yang akan diadakan di Pusat Akuatik, Kompleks Belia dan Sukan dari 31 Januari hingga 1 Februari depan.

Menurut Setiausaha Penganjur Sylvia Lau, penyertaan kali ini mencatat rekod baharu di mana pada tahun lepas hanya 225 peserta mengambil bahagian yang mewakili 35 sekolah di sekitar Kuching.

Kejohanan kali ini dianjurkan oleh Persatuan Renang Amatur Kuching (Kasa) 2010 bagi memilih perenang untuk mewakili Kuching pada Kejohanan Renang Peringkat Umur Sarawak di Sibu pada penghujung Februari.

Ia juga menjadi platform untuk mencungkil bakat baru dan memberi peluang kepada perenang muda mempamerkan bakat masing-masing.

Sejumlah 152 acara dengan 1,192 penyertaan akan dipertandingkan dalam kejohanan selama dua hari itu.

Ia mempertandingkan kategori remaja lelaki dan perempuan dan dibahagi mengikut Kumpulan 1 (15-17 tahun), Kumpulan 2 (13-14 tahun), Kumpulan 3 (11-12 tahun), Kumpulan 4 (9-10 tahun) dan Kumpulan 5 (8 tahun kebawah).

Pemenang bagi setiap kategori akan menerima trofi termasuk juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah dan menengah yang akan membawa pulang trofi cabaran.

Antara acara yang akan dipertandingkan adalah gaya bebas (50m, 100m, 200m, 400, 800m), kuak dada (50m, 100m, 200m), kuak lentang (50m, 100m, 200m), kuak kupu-kupu (50m, 100m, 200m), rampaian individu (200m, 400m), 4x50m dan 4x100m berganti-ganti dan 4x50m dan 4x100m rampaian berganti-ganti.

Turut dipertandingkan acara gaya bebas terbuka perempuan (800m) dan terbuka lelaki (1,500m).

SMK Batu Lintang yang juga juara bertahan bagi kategori sekolah menengah akan mempertaruhkan seramai 15 perenang untuk mempertahankan kejuaraan.

Juara bertahan bagi kategori sekolah rendah, SJK Chung Hua No.  2 pula akan menghantar 26 perenang terbaik mereka.

Sementara itu, Sekolah Menengah Lodge akan menghantar 35 perenang manakala Sekolah Rendah Lodge seramai 31 perenang untuk memburu cabaran kali ini.

 

 

Advertisement