Anda di sini

SMK Santubong, Zon Lundu ungguli rentas desa MSSS

Advertisement

KUCHING: SMK Santubong dan Zon Lundu muncul juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS) kategori sekolah rendah dan menengah yang berlangsung di padang bola sepak SMK Santubong semalam.

Bagi kategori juara keseluruhan, SMK Santubong mengumpul purata tujuh mata hasil kemenangan peserta perempuan bawah 18 tahun dan lelaki bawah 15 tahun untuk mengumpul markah purata 52 dan 31.

Selain itu, mereka juga muncul naib juara bagi kategori perempuan bawah 15 tahun dan lelaki bawah 18 tahun.

Mengekori rapat sang juara, Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya dengan 12 mata dan SMK Sematan dengan 14 mata.

SMK Tabuan Jaya bagaimanapun berjaya memenangi kategori perempuan bawah 15 tahun dengan 48 mata sementara SMK Sematan muncul juara lelaki bawah 18 tahun dengan 75 mata.

Kategori sekolah rendah pula menyaksikan pasukan Zon Lundu dinobat johan setelah mengumpul purata 94 mata, diekori Zon Kuching B dengan 145 mata dan Zon Kuching A di tempat ketiga dengan 250 mata.

Zon Lundu berjaya meraih gelaran dalam kategori lelaki bawah 12 tahun dengan mengumpul 51 mata.

Mereka bagaimanapun menduduki tempat ketiga dalam kategori perempuan bawah 12 tahun dengan 121 mata.

Juara kategori tersebut dimenangi Zon Bau yang mengumpul 43 mata.

Seramai 603 murid mewakili 25 sekolah rendah dan menengah dari lima zon mengambil bahagian dalam kejohanan anjuran bersama SMK Santubong dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching.

Pemenang bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 18, 15 dan 12 tahun akan mewakili Kuching dalam Kejohanan Merentas Desa peringkat negeri yang akan diadakan di Subis, Miri pada 7 Februari depan.

Pada majlis penutupan, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi menggesa semua peserta terutama pemenang untuk meningkatkan usaha agar berjaya mengekori jejak langkah atlet kebangsaan negara seperti ratu terjun Pandelela Rinong, Bryan Nickson Lomas, Watson Nyambek dan raja pelumba jarak jauh Asia Tenggara, M Ramachandran.

“Ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya kita terus berusaha keras dan gigih untuk mencapai setiap impian yang disasarkan,” katanya sambil menambah murid juga perlu berjaya bidang sukan dan akademik.

Turut hadir Pengetua SMK Santubong Aishah Ahmad dan Ketua Unit Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Yazit Belon.

 

 

Advertisement