Anda di sini

Pusat sokongan keluarga masih beroperasi di Beijing: Chew

Advertisement

PUTRAJAYA: Pusat komunikasi dan sokongan keluarga yang ditubuhkan di Beijing, China untuk anggota keluarga dan sanak saudara penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih beroperasi walaupun pesawat itu dilaporkan hilang hampir 11 bulan lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata malah sebuah laman web turut diwujudkan bagi menyalurkan maklumat terkini untuk dikongsi bersama keluarga penumpang negara berkenaan.

“Saya bukan jurucakap untuk isu itu (MH370) dan saya hanya memainkan peranan sokongan sahaja,” kata Chew yang juga pegawai khas Malaysia ke China bagi menemui anggota keluarga dan sanak saudara penumpang MH370 apabila ditanya sama ada terdapat perkembangan terbaru berhubung perjumpaannya dengan anggota keluarga penumpang pesawat MH370 di Beijing.

“Tiada apa yang baharu,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Pesawat MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, termasuk dua bayi, dilaporkan hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada pada 8 Mac tahun lepas.

Terdahulu Chew mengadakan perjumpaan dengan wakil Dewan Perdagangan Malaysia-China dan beberapa usahawan wanita di pejabatnya di kementerian, di sini semalam.

Mengulas tentang pertemuan itu, beliau berkata ia merupakan satu inisiatif untuk menjalin kerjasama lebih erat, khususnya untuk memperkasakan peranan wanita dalam perniagaan dan pembuat dasar. — Bernama

Advertisement