Anda di sini

Ops Limau dijalankan sebulan sebelum Tahun Baharu Cina hingga 19 Februari

Advertisement

KUCHING: Polis menjalankan Ops Limau ke atas semua premis dan aktiviti perjudian termasuk sabung ayam bermula sebulan sebelum Tahun Baharu Cina hingga 19 Februari depan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata tumpuan akan diberikan kepada aktiviti perjudian yang beroperasi menggunakan kaedah baharu di hotel-hotel serta rumah sewa.

“Kami telah berjaya membanteras kegiatan perjudian siber di Sarawak hasil pemantauan dalam tempoh dua bulan ini.

“Namun masih ada yang cuba beroperasi menggunakan kaedah baharu di hotel-hotel dan rumah sewa menggunakan laptop yang dibawa dalam van bergerak untuk mendapatkan keuntungan secara haram terutama di Bintulu dan Kuching.

“Bagaimanapun, kami akan terus memantau perkara ini kerana arahan telah dikeluarkan oleh ketua polis negara dan jika ada yang masih beropeasi, ketua polis daerah akan bertanggungjawab terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak di Padang Kawad, IPK Sarawak di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Sabtu memaklumkan bahawa polis telah melakukan tangkapan melibatkan empat individu awal bulan ini di Johor yang menjadi dalang dalam sindiket yang menawarkan lesen perjudian siber RM250,000.

Meskipun kes ini berlaku di Johor, namun menurut Sabtu pada 9 Januari 2015 satu laporan dibuat di Miri oleh seorang mangsa yang kerugian RM250,000 dipercayai ditipu oleh sindiket yang menawarkan lesen perjudian siber ini.

Berikutan itu, Sabtu meminta masyarakat di negeri ini agar tidak percaya dengan tawaran-tawaran seperti ini kerana pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen perjudian yang sah selain Kementerian Kewangan (MOF).

Terdahulu pada sidang media itu, Sabtu gembira dengan indeks jenayah di Sarawak yang bertambah baik dari semasa ke semasa.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2014 katanya, sebanyak 8,285 kes dilaporkan berbanding 9,104 kes bagi tempoh yang sama 2013, penurunan sebanyak sembilan peratus.

Manakala setakat 27 Januari 2015, sebanyak 535 kes dilaporkan berbanding 626 kes bagi tempoh yang sama tahun 2014, penurunan sebanyak 91 kes atau 14 peratus.

 

Advertisement