Anda di sini

Ketidaksepadanan bekalan, permintaan tenaga mahir perlu ditangani: Muhyiddin

Advertisement

PUTRAJAYA: Isu ketidaksepadanan pembekalan dan permintaan tenaga mahir perlu ditangani bagi memastikan jumlah dan kualiti tenaga mahir mencukupi untuk setiap sektor ekonomi negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu dilihat penting kerana ia akan memberi impak kepada prestasi produktiviti dan daya saing negara.

Justeru, katanya, satu pelan perancangan berhubung jumlah keperluan tenaga mahir perlu diberi keutamaan dan dihasilkan dalam masa terdekat.

“Pelan itu merangkumi setiap sektor industri seperti telekomunikasi, minyak dan gas, elektronik, pendidikan, pertanian, infrastruktur dan lain-lain,” katanya berucap pada majlis penyampaian Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri di sini, semalam.

Sehubungan itu Unit Perancangan Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia perlu menyelaras usaha tersebut dan disokong oleh kementerian serta agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dalam sektor masing-masing.

Muhyiddin berkata ekoran itu juga kerajaan bertekad memperkasakan lagi pembentukan tenaga tempatan berkemahiran tinggi menerusi institusi pendidikan tinggi dan pusat latihan kemahiran tempatan.

Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah program transformasi vokasional dan teknik serta pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT).

“Adalah penting pengisian yang dilaksanakan di setiap institusi latihan serta kemahiran bagi menjamin tenaga mahir dihasilkan bermutu tinggi dan mampu mewujudkan kelainan dalam setiap bidang pasaran pekerjaan,” katanya.

Pada majlis itu Mohd Khairul Azhar Mat Nasir, 30, dari GIATMARA Prima Kubang Pasu, Kedah, diumum pemenang Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri kategori Pengajar manakala kategori Belia dimenangi Muhamad Hafiz Rohani, 20, dari GIATMARA Prima Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Kedua-dua pemenang membawa pulang trofi berbentuk tangan emas serta wang tunai RM10,000. — Bernama

 

Advertisement