Anda di sini

Kabel bawah tanah putus punca bergelap

Advertisement

TINJAU: Lee (lima kiri) bersama Choo (di sebelah beliau) dan Kr Goh (depan) meninjau lokasi di mana kabel bawah tanah SEB rosak teruk akibat kerja-kerja menggorek yang dijalankan oleh pihak kontraktor.

Kerosakan kabel disebabkan kerja mengorek dilakukan kontraktor syarikat utiliti

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Bekalan elektrik terputus lebih 24 jam, sejak jam 4.30 petang kelmarin, khususnya di Vista Perdana dan Desa Bahagia Permyjaya menyebabkan 800 penghuni terpaksa bergelap sepanjang malam, berpunca daripada kabel bawah tanah putus.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin memberitahu, kerosakan kabel berkenaan berlaku disebabkan kerja mengorek yang dilakukan oleh kontraktor syarikat utiliti di sini, pada petang yang sama.

“Kerja mengorek untuk memasang kabel utiliti oleh kontraktor secara tidak sengaja telah menyebabkan ia terputus.

“Sarawak Energy Berhad (SEB) terpaksa memasang kabel bawah tanah baharu. “Kerja sedang giat dilaksanakan ketika ini dan dijangka siap menjelang petang ini (semalam),” tambah Lee, ketika ditemui pemberita semasa mengadakan sidang media di pejabat SEB di sini, semalam.

Lee memberitahu, masalah itu dianggap serius kerana telah menjejaskan penduduk yang tinggal di kedua-dua kawasan perumahan yang dimajukan oleh Naim Cendera dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu.

Lee mengingatkan kontraktor yang menjalankan kerja mengorek bawah tanah supaya mengikut prosedur kerja yang betul bagi mengelak perkara seumpama itu berulang lagi.

Pada masa sama beliau juga mahu tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang gagal mengikut prosedur ditetapkan hingga menimbulkan masalah kepada orang awam atau kemudahan awam.

“Mana-mana kontraktor menjalankan kerja, mereka perlu mematuhi dokumentasi dan pelan lokaliti termasuk prosedur yang ditetapkan.

“Gagal mengikuti prosedur boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku seperti ini,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Wilayah SEB Miri Choo Min Chong berkata, pihaknya amat kesal dengan perkara yang berlaku dan telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Pada masa sama SEB katanya, turut mengambil langkah yang wajar terhadap pihak kontraktor terbabit.

Hadir sama pada mesyuarat dan sidang media tersebut semalam ialah Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Permyjaya Kaunselor Ernest Goh.

 

Advertisement