Anda di sini

Guna logo polis pada kenderaan adalah satu kesalahan

Advertisement

KUCHING: Menggunakan logo polis pada kenderaan adalah satu kesalahan di bawah Akta Polis yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Kucing ACP Roslan Bek Ahmad menegaskan bahawa individu bukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya diharamkan untuk menggunakan logo berkenaan.

“Orang awam yang mengguna atau memiliki logo polis boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Polis dan mereka ini boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini semalam.

Selain itu, Roslan memberitahu bahawa penjual logo atau seragam polis yang tidak mempunyai permit juga boleh dikenakan tindakan.

“Orang awam yang mengguna dan memiliki logo polis adalah satu kesalahan begitu juga dengan penjual kalau tidak ada permit yang dikeluarkan oleh polis ia menjadi satu kesalahan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa pihaknya sentiasa menjalankan operasi di sekitar bandar raya ini bagi membendung kesalahan tersebut daripada berleluasa.

Menyentuh mengenai jenayah ketika banjir di sekitar bandar raya ini, Roslan berkata, setakat ini tiada laporan yang diterima.

“Kami tidak ada menerima laporan yang menyatakan semasa banjir berlaku pecah rumah, pecah kenderaan dan sebagainya.

“Namun, kami sentiasa membuat rondaan dan tinjauan di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang tempoh banjir lalu,” ujarnya.

 

Advertisement