Anda di sini

Setiausaha Agung PAS bidas Guan Eng cakap tidak benar

Advertisement

Mustafa dikatakan tidak bantah pilihan raya kerajaan tempatan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam membidas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang disifatkannya bercakap tidak benar sepenuhnya berkenaan isu pilihan raya kerajaan tempatan yang diperjuangkan DAP.

Mustafa berkata kenyataan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP yang mengata-kan beliau (Mustafa) tidak membantah isu itu baru-baru ini, hanya pembohongan semata-mata.

“Lim ini bercakap hanya ‘half the truth’… sebahagian sahaja kenyataannya yang betul manakala yang lainnya adalah satu pembohongan … dia ni mulut celupar,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, semalam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata tindakan DAP yang memperjuangkan pilihan raya PBT boleh melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dengan desa sehingga boleh mengulangi rusuhan kaum 13 Mei.

Pada bulan Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, memutuskan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim ber-kata kerajaan negeri tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

Mustafa turut mencabar Lim untuk mengadakan debat terbuka bagi menjelaskan perspektif sebenar isu itu.

Mengulas isu lain, Mustafa berkata PAS tidak akan bertindak keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah dalam keputusan rayuan terakhir terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 10 Feb ini.

Katanya PAS tetap me-neruskan kerjasama dalam pakatan pembangkang itu kerana kerjasama itu ber-kaitan parti dan bukannya individu. — Bernama

Advertisement