Anda di sini

SEB terus sokong Sarawak

Advertisement

Sarawak Energy Berhad selaku penaja utama FAS bagi mengharungi musim 2015

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) terus menunjukkan sokongan terhadap pasukan bola sepak Sarawak menerusi tajaan bagi musim 2015.

Majlis penyerahan tajaan telah diadakan pada Isnin lalu bertempat di Menara Sarawak Energy dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEB, Datuk Torstein Dale Sjotveit dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman sambil disaksikan pengurusan kanan SEB dan FAS.

Dalam ucapannya, Torstein berkata bola sepak menjadi sukan yang sangat penting bagi rakyat Sarawak kerana ia mampu menjadi landasan untuk menyatukan seluruh penduduk di negeri ini tanpa mengira latar belakang mereka.

“Stadium bola sepak mencetus semangat penduduk Sarawak dan bagi Sarawak Energy, tajaan ini menyediakan peluang untuk menjalinkan hubungan dengan pelanggan kami dan komuniti yang cintakan sukan ini di seluruh negeri.

“Saya pernah melihat rasa keterujaan itu hingga di kawasan pedalaman di mana kanak-kanak turut mengenakan jersi pasukan Sarawak dengan penuh rasa bangga,” katanya.

Nama Sarawak Energy turut tertera di bahagian depan jersi pasukan Sarawak pada musim ini.

“Saya yakin pasukan Sarawak akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada 2015 kerana ia terus mendapat sokongan daripada Sarawak Energy.

“Kita berharap pasukan ini dapat mengharungi musim baru dengan baik dalam usaha untuk memastikan bendera negeri terus berkibar megah. Sarawak Energy akan terus bersorak bagi pasukan Sarawak tanpa mengira di mana kami berada,” katanya.

Sementara itu, Sudarsono berkata tajaan SEB sangat membantu FAS kerana mereka akan menyertai tiga kejohanan kebangsaan pada tahun ini.

“Kita ada pasukan senior yang bersaing dalam Liga Super, bawah 21 tahun dalam Piala Presiden dan bawah 19 tahun dalam Piala Belia. Tajaan ini sangat diperlukan bagi membangunkan ketigatiga pasukan ini,” katanya.

Penyertaan SEB sebagai penaja utama pasukan Sarawak bermula pada September 2013 setelah FAS memohon tajaan daripada syarikat tersebut.

Seiring dengan sokongan dan inisiatif penjenamaan syarikat, SEB tampil sebagai penaja utama pasukan Sarawak pada Disember tahun yang sama.

Advertisement