Anda di sini

10 pembeli rumah saman PKNS, pemaju perumahan

Advertisement

SHAH ALAM: Seramai 10 pembeli rumah di Setia Alam di sini memfailkan saman terhadap syarikat pemaju, Sazean Development Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana hingga kini mereka masih tidak menerima milikan rumah kosong yang dipersetujui dalam perjanjian jual beli pada 2010.

Kesemua individu berkenaan, Ruhani Baharum, 46, Tham Kok Pew, 53, Wan Mohd Hashim Wan Yusoff, 40, Mohd Nizam Abdul Rahman, 38, Hong Hong Chik, 41, Hing Aik Choong, 37, Ng Kim Thong, 45, Razmair Shah Abdul Razak, 37, Nordin Hisham Mohd Hanapiah, 46, dan Ku Kean Thong, 45, selaku plaintif memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam melalui firma guaman S.Surendran & Co.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa pada sekitar 2010 Sazean Development (defendan pertama) telah memulakan suatu pembangunan perumahan atas hartanah pegangan bebas seluas 143 hektar dikenali sebagai Anjung Sari @ Bandar Setia Alam dan PKNS (defendan kedua) adalah pemilik berdaftar hartanah tersebut.

Plaintif mendakwa, bermula dari 2010 kesemua mereka secara berasingan telah memasuki perjanjian jual beli untuk membeli rumah teres tiga tingkat bernilai di antara RM548,888 dan RM741,902 yang dibangunkan oleh Sazean Development, yang menurut klausa dalam perjanjian itu defendan pertama harus memberikan milikan kosong kepada kesemua plaintif dalam masa 24 bulan dari tarikh perjanjian jual beli tersebut.

Bagaimanapun, kesemua plaintif mendakwa, sehingga semalam  mereka masih belum menerima milikan kosong rumah mereka dan apabila ditanya berkali-kali, Sazean Development melalui beberapa surat memberi alasan bahawa segala kelewatan dalam menyiapkan rumah plaintif berpunca daripada kelewatan PKNS memberikan kelulusan yang diwajibkan.

Seterusnya plaintif mendakwa mereka telah melalui pinjaman bank, membayar hampir 95 peratus daripada harga belian rumah mereka kepada defendan pertama serta telah membayar balik pinjaman yang diambil daripada bank masing-masing dan tindakan Sazean Development melewatkan pemberian milikan kosong untuk rumah mereka secara langsung menyebabkan defendan memungkiri terma perjanjian jual beli bersama kesemua plaintif.

Plaintif juga mendakwa, tindakan defendan pertama memungkiri perjanjian adalah disebabkan kecuaian dan kegagalan PKNS untuk memastikan pembangunan hartanah itu diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kualiti dari segi pengalaman serta kewangan untuk menyelesaikan keseluruhan projek perumahan tersebut dalam jangka masa dijanjikan.

Tindakan kedua-dua defendan itu, dakwa plaintif, telah menyebabkan mereka menanggung kesusahan akibat tidak mampu untuk menduduki rumah idaman seterusnya menanggung kerugian dan kerosakan seperti terpaksa membayar sewa berlebihan sementara menunggu mendapatkan milikan kosong rumah serta kehilangan peluang pendapatan penyewaan.

Sehubungan itu, kesemua plaintif menuntut suatu pelaksanaan spesifik untuk Sazean Development memenuhi obligasinya dalam perjanjian jual beli di antara plaintif dan syarikat itu.

Secara alternatif, sekiranya defendan pertama gagal menyempurnakan perkara itu, plaintif menuntut suatu deklarasi bahawa PKNS bersama Sazean Developmentmenyelesaikan pembinaan dan pemberian milikan kosong rumah mereka dalam masa enam bulan dari tarikh penghakiman serta deklarasi bahawa Sazean Development dan PKNS menanggung kerugian sewa dan/atau peluang pendapatan sewa yang dialami oleh plaintif.

Kesemua plaintif juga menuntut deklarasi bahawa kedua-dua defendan bertanggungjawab untuk membayar Liquidated Ascertained Damages, ganti rugi am, faedah, kos dan sebarang relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas memfailkan saman itu, Hong yang mewakili kesemua plaintif berkata tindakan tersebut terpaksa diambil sebagai jalan penyelesaian terakhir bagi mendapatkan hak mereka.

Difahamkan writ saman akan diserahkan kepada kedua-dua defendan hari ini. — Bernama

Advertisement