Anda di sini

Tujuh sekolah menengah berentap rebut gelaran ‘raja’ ragbi Kuching

Advertisement

KUCHING: Sejumlah tujuh sekolah menengah dari sekitar bandar raya ini bakal bersaing merebut kejuaraan Kejohanan Ragbi 15-Sebelah 18 Tahun ke bawah MSSM Bahagian Kuching 2015 bermula hari ini dan tamat Sabtu ini (31 Januari) di Padang Song Kheng Hai di sini.

Pasukan mengesahkan penyertaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) selaku penganjur, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah (KOLEJA), SMK St Joseph (St Joe), Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA), Sekolah Menengah Sains Kuching (SAINSKU), Maktab Rendah Sains MARA Kuching (MRSMKU) dan SMK Sungai Maong (SUMA).

KOLEJA, SAKURA dan St Joe akan bersaing dalam Kumpulan A manakala SHOAW, SUMA, SAINSKU dan MRSMKU diundi dalam Kumpulan B.

Juara bertahan, KOLEJA akan membuka saingan menentang SAKURA pada jam 9 pagi ini disusuli perlawanan di antara SHOAW dan SAINSKU.

Kejohanan selama empat hari itu bertujuan memilih pemain-pemain untuk bertanding pada kejohanan peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan.

Selain itu, ia juga sebagai landasan mempromosi sukan ragbi kalangan pelajar sekolah di samping memenuhi kalendar kokurikulum pendidikan Bahagian Kuching.

Sementara itu, naib juara pada edisi lalu SHOAW berazam untuk menamatkan monopoli KOLEJA yang merupakan juara bertahan selama tiga tahun berturutturut.

 

Advertisement