Anda di sini

Naik taraf Badminton Dayak Super Series ke peringkat lebih tinggi

Advertisement

MERIAH: Aaron (tengah) bersama para pemain Dayak menyertai Pertandingan Badminton Dayak Super Series 2015 di Kanowit.

KANOWIT: Pertandingan Badminton Dayak Super Series 2015 boleh dijadikan sebagai landasan mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan pemain Dayak dalam sukan itu.

Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang berkata penganjuran pertandingan itu boleh dinaik taraf ke peringkat lebih tinggi dalam usaha melahirkan pemain-pemain Dayak yang berkualiti.

Katanya, pertandingan itu juga harus diperluaskan ke bahagian-bahagian lain negeri ini dalam usaha mencari pemain-pemain Dayak berbakat.

“Boleh dikatakan sukan badminton ini banyak dikuasai kaum-kaum lain seperti Cina dan Melayu. Tiada nama besar bagi Dayak dalam sukan ini.

“Justeru, inisiatif menganjurkan pertandingan ini sangat tepat dan sudah tiba masanya kita mencari pemain-pemain Dayak berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Ini supaya ada wakil Dayak menjadi pemain ke peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama bangsa kita,” katanya pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Badminton Dayak Super Series Kanowit di Stadium Tertutup Kanowit, Sabtu lalu.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Kelab Badminton Kanowit, Pauline Sumbang.

Pertandingan itu dianjurkan Kelab Badminton Dayak Kanowit (KBDK) berlangsung sehari bertemakan ‘Penyerakup Ari Main’ (Perpaduan Menerusi Sukan).

Sebanyak enam pasukan menyertai pertandingan kali ini terdiri KBDK A, KBDK B, Kelab Badminton Dayak Bukit Assek Sibu, Kelab Badminton SRC Sibu, Kelab Badminton Dayak Julau dan Kelab Rekreasi Bungai Terung Sarikei.

Sehubungan itu, Aaron memuji usaha kelab-kelab badminton Dayak di sekitar kawasan bahagian tengah Sarawak kerana membuat inisiatif menganjurkan pertandingan seumpama itu yang hanya terbuka kepada kaum Dayak.

Menurut beliau, tema ‘Penyerakup Ari Main’ memang sesuai menyatukan pemain-pemain badminton Dayak sekitar kawasan Batang Rajang.

“Saya berharap pertandingan ini dapat dianjurkan dengan lebih besar dan meriah pada masa akan datang dengan menjemput pemain-pemain badminton Dayak dari daerah lain menyertainya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Aaron turut menyarankan agar pihak penganjur menambah format pertandingan dengan mempelawa pemain-pemain wanita untuk turut mengambil bahagian.

“Jadikan Pertandingan Badminton Dayak Super Series ini sebagai pentas penting untuk kita melahirkan pemain-pemain badminton Dayak berbakat. Bukan sahaja lelaki tetapi kita mahu pemain wanita juga terlibat sama,” katanya.

Sementara itu, Pauline berkata pertandingan adalah untuk merapatkan silaturahim, mengasah kemahiran serta mencungkil bakat pemain kalangan belia Dayak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Aaron dan juga Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna kerana telah membantu menyalurkan geran kepada KBDK pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Kelab Badminton SRC Sibu muncul juara selepas menewaskan Kelab Badminton Dayak Julau dengan 2-1 pada perlawanan akhir.

Tempat ketiga bersama dimenangi KBDK B dan Kelab Badminton Dayak Bukit Assek Sibu.

 

Advertisement