Anda di sini

Pandangan pelbagai pihak perlu sebelum jadikan merotan kesalahan jenayah

Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk Wanita UMNO selain orang ramai berhubung cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menetapkan tindakan merotan kanak-kanak sebagai kesalahan jenayah dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai polemik yang timbul daripada banyak pihak berhubung cadangan itu merupakan sesuatu yang sihat dan perlu diperhalusi sebaiknya.

“Ada yang kata ini baik, setuju nak pinda, ada yang kata ini tak sesuai. Ada yang kata daripada sudut Islam pun tidak ada halangan untuk kita merotan anak kita tapi dengan cara yang bijaksana, jangan sampai mendera hingga membawa kesan buruk.

“Ada yang bukan Islam kata, patut merotan kerana mereka kata kalau anak itu dah terlalu nakal itulah cara terbaik tapi jangan sampai mendera sehingga boleh menyebabkan sakit kepada anak atau merosakkan mereka,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands, di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata walaupun isu rotan itu masih dalam peringkat cadangan oleh kementerian berkenaan dan belum dibentangkan ke kabinet, kerajaan terbuka untuk menerima pandangan semua pihak.

“Daripada sudut kerajaan boleh terima pandangan itu kerana sampai satu tahap akan ambil kira pandangan umum sebelum pindaan dilaksanakan,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata demikian sebagai mengulas cadangan kementerian terbabit untuk memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak-kanak termasuk perlakuan merotan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu. — Bernama

Advertisement