Anda di sini

Jabatan Hutan Sarawak rampas 4,552 batang balak

Advertisement

2,552 batang dirampas di kawasan Engkeramut Sri Aman, 2,000 batang di Tanjung Manis

PEMBALAKAN HARAM: Balak haram yang berjaya dirampas Jabatan Hutan Sarawak menerusi operasi berterusan yang dijalankan.

KUCHING: Hasil pemantauan berterusan, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya merampas sebanyak 4,552 batang balak pelbagai saiz dan spesies di dua lokasi berasingan.

Menurut Pengarah JHS Sapuan Ahmad menerusi kenyataan akhbar semalam, pada 23 Januari lalu di kawasan Engkeramut Sri Aman, pihaknya berjaya merampas 2,552 batang balak haram yang dianggarkan bernilai RM500,000.

“Bertindak atas maklumat yang disampaikan oleh orang awam yang tinggal di kawasan berkenaan, sepasukan pegawai penguat kuasa daripada Pejabat Hutan Bahagian Sri Aman dikerah ke lokasi berkenaan dan balak-balak haram ini ditemui disembunyikan berdekatan salah sebuah kawasan perladangan kelapa sawit. “Siasatan mendapati balak-balak berkenaan tidak mempunyai dokumentasi yang sah dan telah ditebang lebih kurang dua bulan yang lalu,” katanya.

Jelasnya lagi, balak-balak itu dipercayai tidak dapat dikeluarkan kerana pembalak-pembalak haram berkenaan bimbang dengan aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak kebelakangan ini.

“Tiada individu mahupun jentera berada di tempat kejadian semasa rampasan dilakukan, kertas siasatan telah dibuka bagi memastikan tindakan lanjut dapat diambil,” tegasnya.

Dalam satu lagi operasi yang dijalankan pada 22 Januari lalu di sebuah kilang papan di Tanjung Manis, JHS dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Malaysia serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah berjaya merampas 2,000 batang balak yang dipotong pendek, dipercayai untuk membuat papan lapis.

“Bagaimanapun nilai rampasan belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut selesai dilaksanakan,” kata Sapuan yang mengesahkan rampasan-rampasan berkenaan.

Beliau memberitahu, operasi membanteras pembalakan haram tidak akan dikurangkan atau dihentikan sebaliknya beliau memberi amaran, operasi itu akan terus dilaksanakan pada setiap masa dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan haram itu ditangani sepenuhnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama agensi-agensi penguatankuasa yang telah menjayakan operasi itu dan individu yang menyalurkan maklumat sehingga kegiatan itu berjaya dipatahkan.

Pada masa akan datang beliau berharap, orang ramai yang mengetahui kegiatan penebangan pokok yang mencurigakan, dapat menyampaikan maklumat itu dengan segera kepada Jabatan Hutan.

“Ini untuk membolehkan tindakan segera diambil kerana pada tahap awal penebangan pokok, kemusnahan hutan dapat diminimumkan,” ujarnya.

DISITA: Pasukan Jabatan Hutan Sarawak merampas kesemua balak haram.

Advertisement