Anda di sini

Seramai 61 penduduk tempatan timba ilmu sukan permotoran

Advertisement

KUCHING: Seramai 61 penduduk tempatan dari kampung sekitar Jalan Puncak Borneo di sini bakal terlibat dalam penganjuran sukan permotoran antarabangsa – ‘Padawan International 4×4 Off Roaders Extreme Challenge 2015’ di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) pada Mei depan.

Mereka terlibat merupakan peserta-peserta Kursus Pegawaian Dan Marsyal Sukan Permotoran 2015 peringkat negeri di BRS, semalam.

Menurut Pengerusi Padawan International 4×4 Off Roaders Extreme Challenge 2015, Wilfred Yap peserta menamatkan kursus itu secara tidak langsung diiktiraf sebagai pegawai dan marsyal bertauliah dan mereka kini berkelayakan terlibat dalam mana-mana penganjuran sukan permotoran peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Penglibatan penduduk tempatan sebagai pegawai dan marsyal pada Padawan International 4×4 Off Roaders Extreme Challenge Mei nanti menunjukkan keupayaan kita menjayakan sukan peringkat antarabangsa,” katanya pada penutupan Kursus Pegawaian dan Marsyal Sukan Permotoran 2015 Peringkat Negeri Sarawak di sini semalam.

Hadir menyempurnakan majlis itu Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh, Datuk Dr Jerip Susil.

Turut hadir Setiausaha Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Andrew Joris, Penghulu Bidayuh Kawasan Penrissen Rimong Sutur, Pengerusi AJK BRS Itodio dan ketua jurulatih merangkap fasilitator Sarawak Automotive Racing Sport Association (Sarsa), Lucas Tan.

Padawan International 4×4 Off Roaders Extreme Challenge 2015 dianjurkan bersama oleh MPP dan Sarsa.

Sementara, Dr Jerip berharap kursus tersebut memberi manfaat kepada para peserta sekali gus menjadi karier mereka.

“Pengiktirafan sebagai pegawai dan marshal sukan permotoran para peserta diharap menjadi titik tolak kepada mereka membangunkan keupayaan diri masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap BRS dapat terus membangun dan menjadi antara kawasan terkenal terutamanya dari segi pelancongan, kebudayaan dan pertanian komersil.

 

 

Advertisement