Anda di sini

Rimong Crocs unggul

Advertisement

KAMI JUARA: Barisan pemain Rimong Crocs bergambar sebelum perlawanan akhir bermula di Stadium Mini Padawan semalam.

Julang Piala Padawan 2015 selepas membenam MARR SC pada final

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Rimong Crocs dibarisi beberapa bekas pemain Sarawak ternyata memberi kelebihan kepada pasukan itu apabila muncul juara Piala Padawan 2015 di Stadium Mini Padawan, petang semalam.

Pada perlawanan akhir, Rimong Crocs terpaksa berhempas- pulas membenam MARR SC yang dibarisi ramai pemain muda.

Penyerang sensasi, Paul Sambang turut mengukir nama dengan meledakkan dua gol untuk memberi kemenangan bergaya 3-1 kepada Rimong Crocs.

Perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan untuk mencari pemenang mutlak.

Lebih menarik, Paul turut dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan membawa pulang sebuah piala.

Dengan kemenangan itu, Rimong Crocs membawa pulang piala pusingan, piala iringan, pingat dan wang tunai RM700.

MARR SC selaku naib juara memenangi sebuah piala iringan, pingat dan wang tunai RM500.

Manakala FBT Laye memenangi tempat ketiga selepas mengalahkan Corithiba dalam penentuan tempat ketiga dan keempat sekali gus meraih piala iringan, pingat dan wang tunai RM300.

Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Padawan itu turut dihadiri penasihatnya, Edward Kurik.

Presiden Kelab Bola Sepak Padawan, Gidien Dayos berkata kejohanan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pasukan-pasukan sekitar Padawan.

“Kejohanan kali ini disertai 16 pasukan dan ia adalah sesuatu yang membanggakan bagi kami sebagai penganjur,” katanya.

Penganjuran kejohanan itu untuk mencungkil bakat baharu di sekitar Padawan dan pada masa sama membangunkan bola sepak.

“Kita dapat melihat kawasan Padawan turut memiliki ramai pemain berbakat dan ini merupakan landasan terbaik buat mereka menonjolkan bakat masing-masing,” katanya.

 

 

Advertisement