Anda di sini

DBKL keluarkan bil air bulanan individu kepada penyewa PPR dan perumahan awam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengeluarkan bil air bulanan individu kepada kira-kira 74,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam di seluruh bandar raya selewat-lewatnya akhir Februari ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Wan Mohammad Ghazali Nor berkata bil tersebut bagi menggantikan bil purata bulanan sedia ada berjumlah RM25 kepada setiap penyewa terbabit.

“Ia berikutan rungutan penyewa bahawa bil purata berkenaan tidak adil kerana ada yang menggunakan air lebih atau kurang dari jumlah bil purata berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Program Hari Bertemu Pelanggan DBKL di sini, semalam.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL bersama Yayasan Strategik Sosial yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, P. Gunaseelan.

Sementara itu menurut Gunaseelan, program bertemu pelanggan kali ini dibuat secara besar-besaran dan mendapat maklum balas lebih ramai pelanggan yang rata-ratanya datang kerana masalah perumahan.

“75 peratus yang datang hari ini (semalam) adalah kerana mahu memohon rumah PPR, menyemak status permohonan perumahan mereka selain masalah lain. Justeru kali ini kita bawa bersama jabatan lain dari DBKL selain perumahan bagi melihat dan menyelesaikan masalah mereka ini,” katanya.

Katanya melalui program ini juga, DBKL akan menyemak semula permohonan PPR dan perumahan awam agar ia disewakan kepada mereka yang benar-benar layak.

Beliau menambah, selain masalah perumahan, isu-isu penempatan seperti masalah perparitan dan kesihatan turut diberi perhatian dan disasarkan untuk diselesaikan dalam masa satu hingga dua minggu.

“Program sebegini juga akan diperluaskan di semua Parlimen di kawasan seliaan DBKL agar kita boleh sampai kepada masyarakat kurang mampu yang memerlukan bantuan atau berhadapan dengan pelbagai masalah penempatan mereka,” katanya.

Kira-kira 1,200 pelanggan hadir ke program tersebut yang turut menyaksikan penyerahan 13 kunci rumah PPR kepada penyewanya. — Bernama

 

Advertisement