Penerbitan dan pengedarannya dikhuatiri ancam keselamatan negara
BAGAN DATOH: Tindakan undang-undang akan diambil terhadap syarikat percetakan yang terlibat dalam aktiviti mencetak akhbar asing di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kertas siasatan yang lengkap akan dikemuka kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut atau pendakwaan.
Ahmad Zahid berkata Bahagian Penerbitan mendapati ada beberapa unsur negatif dalam penyiaran akhbar itu yang mencemar imej kerajaan memerintah dengan cara memburuk-burukkan serta melemparkan tuduhan kepada kerajaan di negara terbabit.
“Mungkin ada unsur-unsur pembangkang dari negara terbabit yang antikerajaan sedia ada. Kerajaan tidak pernah campur tangan dalam soal politik dalam negara berkenaan dan tidak akan pernah bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mencabar negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berhubung projek pembangunan kecil Bagan Datoh di pekarangan Jeti Bagan Datoh semalam.
Projek pembangunan kecil Bagan Datoh, yang menelan kos RM3 juta dan dikendali Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), akan membina lima unit kedai desa, enam gerai dan dataran yang dijangka siap tahun depan.
Ahmad Zahid mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini berkaitan penjualan akhbar asing secara terbuka di kaunter premis perniagaan yang dimonopoli warga asing, dan penerbitan serta pengedarannya dikhuatiri boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara kerana kandungan akhbar berkenaan tidak dikawal dan dipantau.
“Hasil siasatan mendapati selain hasil penjualan akhbar itu, mereka menggunakan iklan daripada syarikat di negara ini yang kononnya dimiliki pendatang asing untuk membiayai penerbitan akhbar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata setakat minggu lepas, sebanyak 3,500 naskhah akhbar berbahasa Nepal, Myanmar dan Bangladesh dirampas. — Bernama