Anda di sini

Sarawak B bukti peningkatan

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Johnny berpuas hati prestasi anak-anak buahnya menghadapi Piala Presiden 2015

KUCHING: Pengendali skuad Piala Presiden Sarawak, Johnny Dominicus berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya selepas berjaya mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

Katanya, kejayaan mengikat Harimau Muda C (1-1) pada 21 Januari lalu dan ATM (1-1) kelmarin memberi ‘signal’ baik buat anak-anak buahnya apabila memulakan kempen sebenar Piala Presiden musim ini.

“Corak permainan skuad kita (Sarawak) semakin menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan semua pemain berjaya mengikut apa yang telah dirancang.

“Cuma, kita bimbang masih agak tumpul di barisan serangan dan perlu dipertingkatkan dalam perlawanan akan datang,” katanya di sini semalam.

Johnny turut berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain baharu dan percaya perlawanan itu menjadi pendedahan terbaik bagi mereka untuk meningkatkan corak permainan masing-masing.

Sarawak akan menentang Felda United dalam satu lagi aksi pemanas badan esok dan menamatkan siri jelajah pra-musim menentang Penjara FC pada 28 Januari ini.

Johnny berkata, jadual sebenar Piala Presiden 2015 masih belum dikeluarkan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Namun, kita bercadang mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan jika jadual rasmi masih belum dikeluarkan bagi memantapkan persiapan skuad muda Sarawak menghadapi saingan sebenar nanti,” katanya.

Advertisement