Anda di sini

Lebih 7.5 juta pengguna UTC puas hati: Zabidi

Advertisement

UTC tawar pelbagai perkhidmatan dari lebih 40 agensi kerajaan dan swasta untuk kemudahan rakyat

KEPALA BATAS: Lebih 7.5 juta pengguna pelbagai perkhidmatan dan kemudahan di lapan buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara berpuas hari dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zabidi Zainal berkata pada masa ini, setiap UTC menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada lebih 40 agensi kerajaan dan swasta untuk kemudahan penduduk setempat.

“UTC yang diwujudkan hasil inisiatif menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan sudah dibuka di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Kedah, Johor, Sarawak dan Sabah.

“Saya juga dimaklumkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang turut berfungsi sebagai pusat sehenti agensi dan jabatan kerajaan serta swasta akan dibina dengan lebih banyak di kawasan luar bandar pada tahun ini,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)’ di sini semalam, beliau berkata pusat berkenaan adalah antara usaha kerajaan merakyatkan perkhidmatan awam.

Program, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda di Penaga, di sini.

Sementara itu, Zabidi berkata JPJ akan menyediakan lima perkhidmatan kaunter bergerak 1JPJ di setiap negeri bagi membantu memudahkan urusan rakyat.

“Program ‘My Lesen’ yang bakal dilaksanakan akan menyediakan platform yang lebih mudah untuk memberi lesen kepada golongan muda dan ia merupakan satu usaha yang boleh dipuji kerana membantu rakyat di kawasan luar bandar terutama dari segi menjimatkan masa, kos dan tenaga,” katanya.

Terdahulu, pada program itu, sebanyak 230 peserta terdiri daripada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga menerima lesen motosikal kelas B2 berkelompok masing-masing. — Bernama

Advertisement