Anda di sini

JAKIM boleh saman Eric Paulsen kerana menfitnah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) boleh mempertimbang untuk memfailkan saman fitnah terhadap peguam Eric Paulsen yang mengeluarkan kenyataan menimbulkan kemarahan umat Islam berhubung Islam menerusi catatan Twitter miliknya.

Peguam kanan Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata JAKIM boleh memfailkan tindakan saman malu atau fitnah terhadap pembuat kata-kata fitnah itu kerana telah, dalam maksud lazim dan biasa, menuduh jabatan itu terlibat dengan aktiviti pengganas, keterlaluan dan membahayakan toleransi antara sesama kaum.

Mohd Hafarizam yang banyak mengendalikan kes saman fitnah, berkata bagi mendukung kesucian Islam, selain daripada pendakwaan kerana menghasut atau menghina Islam, tindakan saman juga boleh dilakukan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan itu.

“Semua pihak yang berkepentingan contohnya kerajaan, pembangkang, masyarakat sivil  dan rakyat perlu lebih bertanggungjawab, sensitif, peka dan prihatin tentang isu agama.

“Undang-undang, sebagaimana canggih dan mencakupi segalanya pun, tidak akan ada maknanya jika tidak dipatuhi,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai tindakan individu yang menghina Islam seperti yang dilakukan Paulse, yag juga Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty.

Paulsen membuat catatan itu dalam bahasa Inggeris pada 9 Jan lepas, dan beliau memadamnya selepas kecaman pelbagai pihak.

Paulsen kemudian ditahan di Brickfields dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Pada 14 Jan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kertas siasatan berhubung kes Paulsen akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman dua hari.

Mohd Hafarizam berkata selain itu pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 dengan memasukkan kesucian agama Islam sebagai satu daripada subjek kecenderungan menghasut hendaklah dilakukan secepat mungkin bagi mencegah gejala menghina agama Islam di negara ini yang semakin menjadi-jadi.

Beliau berkata ada banyak lagi akta-akta yang boleh diambil kira untuk pindaan seperti Kanun Keseksaan bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan sensitif terhadap agama.

“Namun, kesudahan yang ingin dicapai ialah keharmonian antara kaum atau penganut agama dan toleransi yang mapan. Ini memerlukan perlaksanaan strategik yang menyeluruh contohnya Parlimen, eksekutif, kehakiman, polis, ahli akademik dan rakyat,” katanya.

Mohd Hafarizam juga menyarankan supaya kesedaran yang lebih luas dan mendalam berkenaan ajaran Islam perlu diperhebatkan oleh JAKIM dan lain-lain agensi kerajaan berkaitan kepada semua bangsa, tidak terhad kepada beragama sahaja.

Mohd Hafarizam menegaskan ini tidak menyalahi undang-undang kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang memberi penerangan atau pendedahan tentang ajaran Islam.

Ketua kluster governans, perundangan dan pengurusan awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata saman itu boleh difailkan sekiranya JAKIM pasti terdapat elemen fitnah dalam kenyataan peguam itu kepada agama Islam.

“Beliau ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan. Oleh itu kenyataan beliau  mestilah yang akan membawa kebencian kepada kerajaan atau permusuhan kaum,” katanya.

Selain itu katanya, pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 dengan memasukkan kesucian agama Islam sebagai salah satu subjek kecenderungan menghasut perlu dilakukan kerana tiada peruntukan khusus berhubung penghinaan agama Islam dalam Akta Hasutan itu dan sekiranya peruntukan itu dimasukkan ia akan memantapkan lagi akta tersebut.

“Oleh itu pindaan nanti perlu dimasukkan perkara ini,” katanya.

Nik Ahmad Kamal menjelaskan bagi kesalahan menghina agama atau mengganggu keharmonian antara agama, Akta Hasutan memperuntukkan hukuman denda atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan manakala di bawah Sesksyen 298A Kanun Keseksaan, ia memperuntukan hukuman penjara dua tahun hingga lima tahun.

Beliau mengambil contoh kes pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan mengikut Seksyen 298A yang memperuntukan hukuman yang lebih tinggi. — Bernama

Advertisement