Anda di sini

Demam futsal kembali melanda bandar raya Kuching

Advertisement

KUCHING: Demam futsal kembali melanda bandar raya ini dengan dua kejohanan berprestij akan dianjurkan oleh Sports Planet Kuching di sini pada bulan depan.

Pengurus Sports Planet Kuching, Eddie Fordza berkata kejohanan pertama Karnival Futsal Planet Remaja berlangsung pada 7 Februari depan melibatkan kategori lelaki bawah 12, 14 dan 16 tahun.

Ia terbuka kepada semua sekolah dan kelab di sini dengan penyertaan bagi setiap kategori dihadkan sebanyak 16 pasukan sahaja.

Yuran penyertaan RM150 dikenakan kepada setiap pasukan.

Setiap pasukan hanya boleh mendaftar pemain dengan had maksima seramai 10 pemain sahaja.

Johan setiap kategori menerima RM500, medal dan piala iringan diikuti RM250 dan medal bagi tempat kedua.

“Kejohanan ini bertujuan membantu meningkatkan prestasi atlet-atlet negeri pada pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Selain itu, kejohanan itu bagi menyumbang ke arah melahirkan atlet-atlet cemerlang dan masyarakat yang sihat, aktif dan produktif melalui penyediaan kemudahan sukan.

Katanya, ini termasuk meningkatkan penggunaan kemudahan sukan dalam pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi kalangan masyarakat.

“Seiring dengan minat yang kian meningkat terhadap sukan itu di sini, Sports Planet juga menganjurkan Liga Futsal Kuching 2015 bermula pada 10 Februari depan.

“Kejohanan itu bakal menyaksikan lapan pasukan futsal terbaik dari sekitar bandar raya ini bersaing selama tujuh minggu bagi merebut hadiah lumayan yang ditawarkan,” katanya.

Penonton bakal disajikan aksi menarik dari pasukan terlibat kerana akan menggunakan gelanggang di Sports Planet yang mendapat pengiktirafan FIFA.

Menurutnya, liga itu dianjurkan mengikut peraturan FIFA dengan setiap perlawanan berlangsung selama 40 minit.

Juara bakal menerima RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Bagi memeriahkan Karnival Futsal Planet Remaja, Sports Planet turut menyediakan gerai jualan, cabaran Play Station dan persembahan nyanyian oleh artis tempatan.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran sila hubungi talian 013-5758722 atau melayari laman ‘facebook’ Sports Planet Kuching.

Advertisement