Anda di sini

Ancaman IS di Sabah terkawal

Advertisement

LABUAN: Ancaman kumpulan militan Islamic State (IS) di Sabah akan menjadi serius jika tiada langkah proaktif diambil untuk memeranginya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kelmarin.

Beliau berkata Malaysia melihat ancaman ini sebagai perkara yang serius dan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah membentangkan Kertas Putih mengenai ancaman IS di Parlimen November lalu.

“Sekurang-kurangnya kita bertanya soalan (tentang bagaimana untuk melawan ancaman), sekurang-kurangnya kita mempersiapkan diri. Jauh berbeza daripada apa  yang sedang dihadapi oleh negara-negara lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan, di sini kelmarin.

Hishammuddin yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Labuan dan Sabah berkata keseriusan kerajaan dalam menangani perkara itu juga ditunjukkan dengan memaklumkan kepada rakyat mengenai jumlah rakyat yang telah ditahan kerana terlibat dengan kegiatan IS.

Beliau berkata hasil maklumat risikan, saki baki militan Darul Islam masih menjadikan pantai timur Sabah sebagai tempat mengembangkan ideologi mereka yang sealiran dengan IS.

Hishammuddin berkata terdapat pula kumpulan bersenjata dari selatan Filipina seperti Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro dan Abu Sayyaf yang telah membuat kenyataan terbuka menyokong perjuangan IS dan mengisytiharkan kesetiaan kepada kumpulan militan itu.

Katanya, ancaman ini menjadi lebih kompleks apabila wujud rangkaian antara militan Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk membentuk kumpulan IS Asia Tenggara yang dikenali sebagai Katiban Nusantara Lid Daulah Islamiyah.

“Penggabungan ini jika berlaku akan mempertingkatkan keupayaan kepakaran dalam membuat bahan letupan, aspek bantuan logistik, dana dan latihan persenjataan peperangan,” katanya. — Bernama

Advertisement