Anda di sini

Satu ujian undang-undang bagi lesen kereta, motosikal

Advertisement

MUAR: Kementerian Pengangkutan semalam memutuskan individu yang ingin mengambil lesen memandu kereta dan motosikal kini hanya perlu menduduki satu ujian undang-undang sahaja.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan mengambil kira pelbagai rungutan daripada pihak institut memandu.

“Ketika ini, mereka yang ingin mengambil lesen kereta dan motosikal perlu mempelajari modul kereta dan modul motosikal berasingan serta menduduki dua ujian berasingan.

“Selepas menerima rungutan, kita putuskan mereka kini perlu mempelajari kedua-dua modul itu berasingan, namun, hanya perlu menduduki hanya satu ujian sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Muar di sini semalam.

Liow berkata pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah JPJ untuk mengeluarkan arahan berkenaan kepada semua institut memandu dan diharapkan keputusanberkenaan dapat memudahkan golongan muda mendapatkan lesen memandu masing-masing.

Sementara itu, Liow berkata usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi sudah meliputi 15,000 kilometer persegi daripada 60,000 kilometer persegi kawasan pencarian.

Beliau berkata usaha pencarian pesawat yang hilang pada 8 Mac tahun lepas itu diharap dapat diselesaikan pada Mei ini sekiranya terdapat penambahan kapal.

Mengenai lawatan ke pejabat JPJ berkenaan, Liow berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM14 juta bagi membina bangunan tiga tingkat di pejabat itu bagi menggantikan bangunan lama yang musnah dalam kebakaran pada tahun 2006.

Beliau berharap dengan pembinaan bangunan itu, ia dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ kepada orang ramai di sekitar kawasan berkenaan. — Bernama

 

Advertisement