Anda di sini

Buda hasrat lahir atlet baharu

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

 

TERBAIK: Buda (tiga kiri) bersama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua kanan)
dan Olahragawati ATM, Nur Suryani Mohamed Taibi (tiga kanan) pada majlis Anugerah Sukan ATM di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

KUCHING: Selepas meraih pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sasaran jaguh bina badan Sarawak, Buda Anchah kini terarah untuk melahirkan lebih ramai generasi baharu bagi menyambung legasi kecemerlangannya dalam sukan itu di sini.

Buda, 43, berkata, beliau bersedia menawarkan khidmat melatih atlet-atlet bina badan Sarawak jika diberi peluang.

Menurutnya, Sarawak mempunyai ramai atlet bina badan berbakat namun mereka kekurangan jurulatih yang berpengalaman.

“Sukan bina badan di Sarawak mempunyai masa depan cerah kerana ramai generasi baharu yang lahir berpotensi untuk mengorak langkah ke tahap lebih tinggi.

“Namun, Sarawak kekurangan jurulatih yang mempunyai pengalaman meluas baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa untuk memastikan atlet mendapat didikan yang berkesan,” katanya dihubungi di sini semalam.

Pemenang emas Mr Asian 2014 itu berkata, hasratnya menabur bakti sebagai jurulatih skuad bina badan Sarawak kian menebal kerana akan bersara wajib pada tahun depan sebagai pegawai waran 1, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). “Saya ingin menyumbang sesuatu untuk Sarawak dan akan cuba memberikan yang terbaik sebagai seorang jurulatih,” katanya yang menggondol Olahragawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2014 untuk kali ketiga pada Rabu lalu.

Menurut Buda, beliau merupakan jurulatih peribadi anaknya sendiri, Macbeth Tubang, 18, yang akan mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2015 di Kuala Lumpur.

Ketika ini, Macbeth menjalani latihan intensif di gimnasiumnya di Sri Aman.

“Saya cukup gembira setelah Macbeth dipilih mewakili Sarawak pada SUKMA kali ini. Perkara ini juga disahkan oleh Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA).

“Macbeth sebelum ini pernah ditawarkan oleh pasukan Putrajaya, namun beliau memilih mewakili Sarawak,” ujarnya merupakan Juara Antara Juara pada kejohanan Mr Borneo 2014 di Sabah. Katanya, beliau bersedia membantu skuad bina badan Sarawak menghadapi SUKMA 2015 namun SBBA perlu membuat permohonan secara bertulis kepada majikannya.

Mengulas mengenai sasarannya pada tahun ini, Buda berkata beliau akan menyertai tiga kejohanan antarabangsa iaitu Mr Asian pada Mei di Kemboja, Mr Asia di Uzbekistan pada September dan Mr World pada November di Bangkok, Thailand.

“Fokus saya tahun ini tertumpu kepada kejohanan Mr Asia dan Mr World. Bagi kejohanan Mr Asian khidmat saya hanya diperlukan jika tiada atlet pelapis kebangsaan melepasi tahap kelayakan,” katanya.

 

Advertisement