Anda di sini

Tabung Haji umum 6.25 peratus bonus, dua peratus tambahan bonus haji

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) semalam mengumumkan bonus pendeposit bagi tahun kewangan 2014 merangkumi 6.25 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 2 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pembayaran kedua-dua bonus itu berjumlah RM3.2 bilion, meningkat 23 peratus berbanding tahun 2013.

Ia akan dimanfaatkan oleh hampir 8.6 juta akaun pendeposit TH yang aktif.

“Keuntungan bersih selepas zakat TH mencecah RM3.3 bilion berbanding RM2.6 bilion pada 2013, peningkatan 2.4 peratus.

“Prestasi ini menunjukkan peningkatan lebih lima kali ganda keuntungan sejak tahun 2006,” katanya dalam sidang media mengumumkan prestasi kewangan TH semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH Tan Sri Ismee Ismail berkata untuk tahun ini, TH akan lebih memfokuskan kepada pelaburan dalam negara berikutan ketidaktentuan pasaran luar negara.

“Kami melakukan pela-buran berasaskan lokasi aset tertentu kami, dan saya percaya apa yang berlaku hari ini dengan kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak mentah, kami perlu mengalih tumpuan pelaburan kami ke pasaran domestik tahun ini.

“Kami akan cuba untuk tidak membuat aliran keluar dana dan pelaburan domestik kita ditumpukan terutamanya bagi ekuiti, sekuriti hutang, syarikat-syarikat amanah pelaburan hartanah (REITs), dan pasaran wang dan instrumen kewangan,” katanya.

Ismee berkata pelaburan aset di luar negara TH telah menyumbang kira-kira lima peratus kepada jumlah hasil pada tahun lepas.

Tahun lepas, pendapatan TH berjumlah RM3.29 bilion, rendah sedikit daripada RM3.73 bilion yang dicapai pada tahun 2013.

Berhubung proses pembinaan Kompleks Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Ismee berkata ia dijangka siap pertengahan 2016. — Bernama

Advertisement