Anda di sini

PKBM lega bakal bebas tuduhan salah guna dana RM1.5 juta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah boleh menarik nafas lega apabila badan induk sukan berbasikal itu dikatakan bakal bebas daripada tuduhan penyelewengan dana tahunan berjumlah RM1.5 juta.

Presidennya Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, semalam berhubung isu terbabit telah memberi sedikit sinar kepada PKBM yang kini masih menjalani penggantungan rentetan dakwaan salah guna dana tahunan itu.

“Sesungguhnya hari ini adalah hari yang sangat gembira kepada saya dan barisan kepimpinan PKBM. Setidak- tidaknya pengumuman Menteri Belia dan Sukan itu telah memberi satu sinar baharu kepada kami untuk kembali bergerak secara aktif menjelang kejohanan besar seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 dan Sukan SEA 2015 di Singapura.

“Apa yang lebih penting adalah Menteri Belia dan Sukan telah memberi jaminan untuk melihat kembali proses penggantungan PKBM. Lebih daripada itu saya melihat penjelasan Menteri Belia dan Sukan telah menjernihkan beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Selain itu, Abu Samah berkata penjelasan bahawa tiada salah guna atau penyelewengan terhadap beberapa perbelanjaan khususnya penggunaan hadiah wang tunai kemenangan LTdL 2014, memberi satu kepuasan menyeluruh kepada pihak PKBM.

Katanya, sudah tiba masa PKBM kembali menyemarakkan program pembangunan sukan berbasikal di Malaysia, setelah terlalu lama menunggu dan menghabiskan banyak masa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Menurut beliau, PKBM akan segera mengemukakan perbelanjaan pembangunan ke atas pasukan kebangsaan yang bakal menyertai LTdL 2015 bermula 8 Mac depan.

“Adalah penting bagi kami untuk mendapatkan dana pembangunan kerana Kabinet sebelum ini telah memberikan peruntukan. Adalah penting juga bagi pasukan lebuh raya kebangsaan untuk mempamerkan prestasi baik pada LTdL 2015 demi maruah Malaysia,” katanya.

Semalam, Khairy menjelaskan bahawa pihaknya bersedia mengkaji semula penggantungan PKBM selepas dikatakan berpuas hati dengan penjelasan persatuan itu dalam menjawab semua soalan yang dikemukakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan. — Bernama

Advertisement