Anda di sini

Pentas terakhir buat Andrew

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Atlet judo Sarawak diharap sumbang pingat emas pada SUKMA 2015 di Kuala Lumpur

TANGKAS: Aksi Andrew (kanan) semasa menyertai salah satu dari kejohanan peringkat kebangsaan pada tahun lepas.

KUCHING: SUKMA 2015 akan menjadi pentas terakhir bagi atlet judo dari Sarawak yang semakin meningkat naik, Andrew Sia Kah Huong.

Sudah pasti atlet pelapis kebangsaan itu mahu mengakhiri kempen SUKMAnya dengan menghadiahkan emas buat kontinjen Sarawak selepas sekadar meraih perak pada temasya 2013.

Keyakinan itu turut disuarakan Ketua Jurulatih, Anderson Venus sambil percaya Andrew, 21, mampu mengakhiri kejohanan berprestij itu dengan menyumbang emas.

“Kita memang meletakkan harapan tinggi di bahu Andrew untuk menghadiahkan pingat, cuma kita tidak tahu warna apa yang akan beliau sumbang,” menurutnya.

“Apapun skuad amat berharap beliau dapat menyumbang emas. Tambahan lagi ini adalah SUKMA terakhir baginya.”

Setakat ini, skuad judo Sarawak masih mengekalkan lima lagi muka lama selain Andrew.

Antaranya, Chua Zhi Li, Soh Yew Ing, Lai Lei Wei dan dua atlet wanita untuk acara Kata, Chang Bui Kiun dan Bong Ling King.

Menurut Anderson, skuad akan mengadakan latihan bersama skuad judo SUKMA Pulau Pinang pada Januari atau Februari depan.

Sesi tersebut, katanya, akan digunakan untuk menilai serta memilih beberapa lagi atlet yang berpotensi selain menjadi landasan pendedahan bagi anak-anak buahnya.

“Selain itu, skuad juga bercadang untuk menyertai kejohanan judo kebangsaan, mungkin di Pulau Pinang pada bulan Mac.”

Tambahnya, latihan intensif telah bermula sejak akhir tahun lepas bertempat di pusat latihan yang terletak di Pending.

Sarawak merangkul dua perak dan satu gangsa pada SUKMA 2013 menerusi Brenton Sim ( 8 1 k g ) , Andrew Sia (90kg ke atas) dan Soh Yew Ing (66kg).

 

Advertisement