Anda di sini

Ting terkilan kontrak Yoong ditamatkan

Advertisement

KUCHING: Penamatan kontrak Yoong Thong Foong selaku Ketua Jurulatih skuad wushu negara akan menjejaskan persiapan Malaysia untuk menghadapi Sukan SEA yang akan berlangsung di Singapura pada Mei depan.

Pengerusi Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), James Ting berkata beliau sangat terkejut dengan keputusan badan wushu negara tidak menyambung kontrak Yoong sambil menambah umur jurulatih itu yang kian lanjut dilihat sebagai faktor utama penamatan khidmatnya.

“Yoong telah memberi sumbangan besar terhadap Malaysia dalam membantu negara meraih pingat semasa Sukan SEA, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

“Saya sangat terkejut kerana sebagai pengerusi WFM yang bertindak memantau jurulatih, hakim, jawatankuasa pembangunan dan disiplin, saya tidak diberitahu berhubung perkara ini.

“Lebih menyedihkan mereka yang terlibat dalam mengambil keputusan tersebut langsung tidak mendapatkan pendapat dan persetujuan dari saya terlebih dahulu,” katanya semalam.

Ting berkata Timbalan Presiden, Lim Siew San juga tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Tambahan lagi, Ting turut meragui surat yang dihantar WFM kepada Yoong mengatakan kontraknya ditamatkan setelah ‘presiden ketika ini’ Martin Lim telah meletak jawatan selepas isu doping pemenang pingat emas, Tai Cheau Xuen pada Sukan ASEAN lalu.

“Adakah jawatankuasa WFM telah mengadakan mesyuarat untuk menerima kembali Lim sebagai presiden?” soal Ting.

Ting yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) berpendapat tindakan WFM menyingkirkan Yoong sebagai tidak profesional.

Yoong, 61, dilantik sebagai ketua jurulatih wushu Malaysia sejak 2003 dan sejak itu telah banyak membawa kejayaan buat kontinjen negara.

“Secara peribadi, saya tidak melihat umur sebagai faktor untuk menilai prestasi seseorang jurulatih. Yoong seorang yang sangat berpengalaman terutama dalam seni taijiquan dan taijijian.

“Beliau juga seorang jurulatih antarabangsa yang berkelayakan dan calon terbaik untuk membimbing atlet kita,” tambah Ting.

Menurutnya, semakin berusia seorang jurulatih, maka beliau pastinya semakin berpengalaman terutama dalam disiplin taiji.

“Wushu adalah sukan subjektif dan pengalaman meluas Yoong ditambah personalitinya yang cemerlang akan mempengaruhi keputusan semasa pertandingan.”

Ting mula mengenali Yoong sejak keduanya bertemu semasa menyertai seminar jurulatih wushu antarabangsa di TING Beijing, China pada 1999.

Advertisement