Anda di sini

Jadual ‘berat sebelah’

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Alberts berharap FAS bertindak agar jadual tersebut dapat dipinda

KUCHING: Ketua Jurulatih Robert Alberts berharap Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dapat lakukan sesuatu agar dua jadual perlawanan Liga Super 2015 melibatkan Sarawak pada minggu pertama bulan Ramadan dapat dipinda.

Menurut Alberts, jadual ter sebut tidak memberi kelebihan buat pasukannya kerana mereka perlu bermain dua kali di laman lawan menentang pasukan Terengganu (20 Jun) dan Pahang (27 Jun).

“Jadual ini tidak memberi kelebihan kepada Sarawak kerana kita perlu bermain dua kali di tempat lawan menentang pasukan yang kuat dalam bulan puasa.

“Adalah tidak adil bagi pemain yang pastinya keletihan kerana perlu bertandang dan bermain di tempat lawan sepanjang minggu,” katanya semalam.

Tambahnya, jadual tersebut juga tidak memberi kelebihan kepada penyokong di sini yang pastinya mahu melihat Sarawak beraksi di laman sendiri dalam tempoh tersebut.

Menurut Alberts, beliau telah menjelaskan perkara itu kepada pihak pengurusan FAS dan berharap jadual tersebut dapat dipinda.

Sarawak akan menempuh tiga perlawanan dalam bulan Ramadan di mana mereka juga akan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 4 Julai di Stadium Negeri.

Alberts bagaimanapun menarik nafas lega selepas mereka hanya perlu beraksi dalam lima perlawanan sepanjang bulan Ogos berbanding lapan perlawanan berdasarkan jadual yang dikeluarkan sebelum ini.

“Sedikit berita baik bagi pasukan kerana tidak perlu mengharungi lapan perlawanan dalam bulan Ogos seperti yang ditetapkan dalam jadual sebelum ini,” katanya.

Sarawak akan bertandang ke Semenanjung Malaysia bermula esok untuk mengharungi tiga aksi persahabatan tanpa Dalglish Papin Test dan Muhammad Dzulfadli Awg Marajeh yang masih cedera.

Bagaimanapun, kapten pasukan Joseph Kalang Tie disahkan cergas sepenuhnya dan akan turut serta.

Sarawak akan menentang Selangor PKNS (24 Januari), Negeri Sembilan (27 Januari) dan KL SPA (30 Januari) sebagai pemanas badan sebelum memulakan kempen Liga Super 2015 menentang KL Felda United di Stadium MP Selayang pada 7 Februari.

Advertisement