Anda di sini

Matu mula dinaiki air

Advertisement

MATU: Beberapa kawasan di daerah ini mula dinaiki air sejak semalam, bagaimanapun ia masih terkawal.

Antara kampung yang terjejas banjir dengan jalannya ditenggelami air sehingga paras lutut ialah Kampung Pantray, Tian, Sekaan Kecil, Bawang, Jemoreng, Sekaan, Berjaya dan pekan Matu.

Manakala sekolah-sekolah yang jalannya turut ditenggelami banjir ialah SK Pantray, SK Jemoreng, SMK Matu, SK Orang Kaya Segunim, SK Orang Kaya Selair dan SJK Chung Hua Matu.

Prihatin dengan keadaan itu, Ahli Parlimen Igan Datuk Abdul Wahab Dolah semalam turun padang dan meluangkan masanya sehari suntuk meninjau perkembangan banjir yang melanda kampung-kampung ekoran hujan sejak beberapa hari lepas.

Menurut Wahab, keadaan banjir kali ini tidak seteruk seperti beberapa tahun lepas kerana air banjir cepat surut selepas kebanyakan sungai di Matu dibersihkan awal bulan lepas.

“Sungai yang dibersihkan menyebabkan air banjir cepat mengalir keluar,” katanya.

Mengenai bantuan beliau berkata, bantuan sudah diagihkan bulan lepas kepada 350 penduduk di Matu dan 250 penduduk di Daro dan dalam masa beberapa hari lagi bantuan serupa akan turut diagihkan kepada lebih 100 penduduk yang terjejas.

Beliau berkata keadaan banjir di Matu masih terkawal dengan sebahagian jalan raya masih dapat dilalui oleh kenderaan dan tiada rumah ditenggelami air atau membabitkan pemindahan mangsa banjir ke tempat selamat secara besar-besaran.

Sungguhpun kebanyakan kampung dilihat dilimpahi air, namun keadaan itu adalah perkara biasa di Matu terutama pada musim tengkujuh sekarang, katanya sambil menambah, limpahan air itu disebabkan takungan air hujan.

Advertisement