Anda di sini

Kes lelaki menipu ditetapkan 26 Jan

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret, di sini semalam menetapkan 26 Januari ini untuk perbicaraan lanjut kes seorang lelaki dituduh menipu seorang lelaki lain.

Manakala tertuduh dibenarkan bebas dengan jaminan RM5,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Tan Choon Boon, 29, dari Jalan Kuchai Ent Park, Kuala Lumpur didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dengan curang menipu seorang lelaki, Kua Hua Ming dan memperdaya mangsa supaya mempercayai bahawa seorang kawannya memerlukan wang untuk pulang ke Miri dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM8,470 ke dalam akaunnya (tertuduh).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi yang masih bebas pada 12 April 2011, di sebuah bank di sini.

Advertisement