Anda di sini

Johnny gembira prestasi anak didiknya

Advertisement

BUKTI PRESTASI: Pemain Piala Presiden, Awang Kamaruddin Awang Bohan (depan) berjaya meloloskan diri daripada kawalan Ashri Chuchu pada perlawanan persahabatan menentang skuad senior di Stadium Negeri Kuching, pada minggu lalu.

KUCHING: Ketua Jurulatih Piala Presiden Sarawak, Johnny Dominicus gembira dengan prestasi ditunjukkan anak-anak buahnya pada aksi persahabatan menentang skuad senior (Sarawak) di Stadium Negeri di sini pada Sabtu lalu.

Meskipun diaibkan dengan kekalahan 11-2, Johnny tidak panik malah menganggap perlawanan tersebut sebagai ilmu terbaik bagi pemain-pemainnya sebelum menghadapi kejohanan kompetitif yang akan bermula tidak lama lagi.

“Keputusan tidak penting bagi saya kerana apa yang diharapkan semua pemain dapat mempelajari sesuatu, selain menilai kelemahan masing-masing,” katanya ketika diminta mengulas perlawanan itu.

Jurulatih dari Sabah itu berkata, kebanyakan pemainnya belum merasai perlawanan kompetitif seperti itu dan sekurang-kurangnya dapat menjadi pendedahan terbaik bagi mereka.

Tambahnya , perlawanan tempoh hari juga memberi peluang kepadanya melihat kemampuan sebenar pemain-pemain termasuk muka baharu yang hampir separuh diketengahkan pada musim ini.

“Mungkin kita memerlukan beberapa lagi perlawanan seumpama itu dengan baki masa yang ada.

Apapun, saya sudah dapat melihat keupayaan sebenar semua pemain,” katanya.

Skuad muda Sarawak akan berguru di ibu negara untuk mengadakan empat aksi pemanas badan menentang Harimau Muda C (21 Januari), ATM dari Liga Kuala Lumpur (23 Januari), Selangor PKNS/Piala Presiden (26 Januari) dan Penjara FC (28 Januari).

 

Advertisement