KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengingatkan kontraktor-kontraktor yang dilantik agar menjalankan tugas diamanahkan dengan penuh tanggungjawab.
Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan berkata, beliau tidak teragak-agak mengenakan tindakan sewajarnya termasuk membatalkan kontrak sekiranya kontraktor gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga mencalar nama baik pihak berkuasa tempatan itu.
“MBKS tidak pernah lewat dalam membuat pembayaran kepada kontraktor dan sekarang, apa saya minta, anda semua yang dilantik oleh MBKS perlu menjalankan tugas, kalau bukan dengan lebih baik, sekurang-kurangnya seperti yang termeterai dalam perjanjian kita.
“Apabila dilantik oleh MBKS, anda kini mewakili kami dan kami tidak mahu nama MBKS tercalar atas kesilapan atau kelalaian anda dalam memikul amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat untuk kontraktor penyelenggaraan Road Verge dan pembersihan partik 2015 bersama ketua-ketua masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Auditorium MBKS di sini, semalam.
Chan berkata kontraktor tidak harus lepas tangan apabila menyerahkan tugas itu kepada subkontraktor memandangkan tugas-tugas seperti membersih parit, mengutip sampah, memotong rumput, antara lain, diserahkan kepada mereka supaya kontraktor mendapatkan hasil lebih efisien serta cekap.
“Saya tidak kisah kalau anda mahu menyerahkan tugas itu kepada subkontraktor, tetapi sekurang-kurangnya pantau kerja-kerja dilaksanakan mereka.
“Saya berharap semua orang dapat bekerjasama bagi menjadikan Kuching sebagai bandar raya yang terbaik untuk didiami,” katanya.
Beliau pada masa turut mengingatkan kontraktor yang gagal menghadiri sesi taklimat itu agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata MBKS akan menurap dan membaiki lebih banyak jalan raya di kawasan tadbirannya pada tahun ini menggunakan bajet daripada Sistem Maklumat Jalan Raya Malaysia (MARIS).
“Kita perlu memberi lapisan tar yang baharu bagi mencegah banjir… setakat ini belum ada aduan mengenai banjir di kawasan cenderung banjir di bawah MBKS seperti di Jalan Mendu, Jalan Central dan Jalan Batu Lintang,” katanya.
Dalam usaha menambah baik perkhidmatan MBKS, kawasan-kawasan tadbirannya dibahagikan kepada enam zon yang dipantau oleh lima ahli majlis dalam satu-satu kawasan untuk bekerjasama dengan ketua-ketua masyarakat, bermula September tahun lepas.
Sistem itu katanya, membolehkan pihaknya memantau permasalahan kawasan secara lebih berkesan.
“Kehadiran teknologi, seperti aplikasi Whatsapp juga banyak membantu dalam komunikasi antara penduduk dan MBKS,” katanya.